KUCHING, 14 Sept: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Bintulu hanya memberi suntikan vaksin kepada golongan remaja antara 13 hingga 17 tahun yang merupakan pesakit hospital dengan komorbid dan dibawah penjagaan Klinik Pakar Hospital Bintulu.
Pengarah Hospital Bintulu, Dr Davis Johnraj berkata, program vaksinasi di Hospital Bintulu tidak akan menerima remaja yang sihat serta tiada sesi walk-in yang dibenarkan buat masa ini.
“Pihak Hospital Bintulu ingin merujuk kepada mesej berangkai yang telah tular di aplikasi Whatsapp dan Facebook berkaitan dengan pemberian vaksin secara walk-in kepada remaja berumur 16 dan 17 tahun di Hospital Bintulu pada 13 September 2021.
“Untuk makluman, Hospital Bintulu TIDAK membuat sebarang hebahan berkaitan dengan pemberian vaksin secara walk-in kepada remaja berumur 16 dan 17 tahun pada 13 September 2021, seperti yang telah tular di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, pihak Hospital Bintulu memohon maaf sekiranya timbul kesulitan disebabkan oleh mesej tular berkenaan.
Masyarakat juga diminta untuk tidak menularkan sebarang berita yang tidak sahih agar tidak mencetuskan kebimbangan atau kekeliruan dalam kalangan masyarakat.