KUALA LUMPUR, 14 Sept : Kerajaan menjelaskan bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai peruntukan istimewa berkaitan peraturan Imigresen yang menyebabkan wujud perbezaan polisi dalam perlaksanaan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) berbanding dengan negeri – negeri di Semenanjung Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kedua -dua negeri berkenaan melaksanakan polisi MM2H berdasarkan Seksyen 64 dan 65, Akta Imigresen 1959/1963.
” Sehubungan itu, Kerajaan Sabah dan Sarawak boleh menyesuaikan syarat penyertaan program untuk tujuan pengeluaran Pas Lawatan Sosial serta menguruskan hal berkaitan Imigresen berkaitan kemasukan warga asing dan tempoh keberadaan mereka di negeri – negeri berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) di Dewan Rakyat hari ini yang meminta penjelasan mengapa wujud dasar ‘satu negara dua sistem’ berhubung program MM2H apabila Sabah dan Sarawak dilihat melaksanakan polisi yang lebih liberal berbanding oleh Kerajaan Pusat.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan kedua -dua negeri berkenaan bagi menyesuaikan syarat program MM2H sekaligus menyelesaikan isu syarat berbeza.
Katanya, kerajaan menambah baik prasyarat penyertaan inisiatif berkenaan bagi memastikan peserta yang ingin tinggal di Malaysia terdiri daripada individu yang berkualiti dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. -TVS