KUALA LUMPUR, 14 Sept : Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mengkaji perlaksanaan moratorium tanpa faedah kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Menurut Perdana Menteri, cadangan berkenaan akan dibincangkan dengan Menteri Kewangan, Â Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk melihat tindakan yang boleh dilaksanakan.
” InsyaAllah, kita (kerajaan) memahami situasi yang dihadapi rakyat, kerajaan akan bantu sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Maslan (PN-Pontian) pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad terdahulu membangkitkan soal hutang isi rumah di Malaysia yang menurutnya amat tinggi mencecah 93.3 peratus daripada  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan terus meningkat sebanyak 5.5 peratus ketika pandemik COVID-19.
Seterusnya beliau mencadangkan supaya moratorium tanpa faedah terakru diberikan kepada rakyat bagi membantu golongan sasar untuk menyelesaikan hutang rumah dan kereta.
Terdahulu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson), Ismail Sabri menjelaskan bahawa kerajaan akan melaksanakan pemberian bantuan jangka sederhana kepada perniagaan yang terjejas berbanding bantuan kewangan secara one -off.
” Apabila kerajaan memberikan bantuan kepada perniagaan mikro secara one off, ia hanya bertahan untuk tempoh sementara sahaja. Oleh itu, bantuan jangka sederhana diperlukan seperti latihan keusahawanan, meningkat dan menambah kemahiran baharu supaya mereka mempunyai ruang untuk tambah dan jana pendapatan ,” katanya.
Pada masa sama , beliau menjelaskan kerajaan turut memahami bahawa untuk memulakan perniagaan, usahawan perlu mempunyai modal dan ketika ini beberapa agensi kerajaan seperi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan bantuan berkenaan untuk syarikat pemula.
” Bagaimanapun yang lebih penting ialah untuk jangka panjang, kita buka semula ekonomi untuk peluang pekerjaan dan bantu rakyat meneruskan hidup dan seterusnya mengurangkan jurang kemiskinan,” katanya. -TVS