KUCHING, 14 Sept : Institut-institut memandu di Zon Selatan Sarawak dibenarkan beroperasi bermula 17 September ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata, keputusan ini dibuat setelah memastikan kesemua pengajar memandu dan kakitangannya sudah lengkap dos vaksinasi.
“Kebenaran untuk institut-institut memandu di Zon Selatan beroperasi mengambil kira keadaan mereka yang terjejas teruk dari segi pendapatan setelah sekian lama berhenti beroperasi disebabkan oleh peningkatan kes COVID-19 dalam negeri.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak juga telah bersetuju membenarkan mereka kembali bertugas selepas melaksanakan persediaan rapi dari segi sanitasi dan penetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) bermula 13 September lepas,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Antara SOP yang telah ditetapkan adalah pelajar dan pengajar perlu memakai dua lapis pelitup muka serta pelindung muka, pengajar memandu perlu menyediakan alat pengesan suhu, kod QR MySejahtera dan memastikan sistem pengudaraan yang betul di dalam premis, diwajibkan membuka atau menurunkan tingkap kenderaan untuk peredaran udara yang baik serta mengelak penggunaan pendingin hawa, semasa menjalani latihan di jalan raya.
Katanya lagi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan melakukan pemeriksaan untuk memastikan semua institut memandu mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa.