Oleh Ammierul Mukminin
KOTA KINABALU, 14 Sept : Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya melaksanakan Eksesais Ababil 2021 di Lapang Sasar Udara (LASARUD) yang berakhir hari ini.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, eksesais berkenaan bertujuan untuk menguji tahap keupayaan dan kesiapsiagaan aset tempur dan sumber manusia TUDM yang melibatkan pelbagai jenis kekuatan logistik.
“Eksesais tahun ini melibatkan seramai 446 anak kapal dan anggota TUDM termasuk Pasukan Khas Udara (PASKAU) serta penglibatan pesawat-pesawat tempur termasuk F/A-18D Hornet, Sukhoi Su-30MKM dan Hawk208.
“Seterusnya latihan ini juga menyaksikan penyertaan pesawat pengangkut Hercules C-130, pesawat jenis Beechcraft Super King Air B200T Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan helikopter EC725AP,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi tembakan udara pada eksesais berkenaan.
Mengulas lanjut, Affendi berkata, demonstrasi berkenaan membuktikan tahap profesionalisme, kepakaran, keupayaan dan kesiapsiagaan warga serta aset-aset tempur TUDM dalam misi dan operasi pertahanan negara .
Eksesais yang telah bermula pada 7 September hingga hari ini turut menyaksikan perlaksanaan operasi Tembakan Misil Udara ke Udara (AAMF) dan Tembakan Misil Udara ke Permukaan Air (ASMF). -TVS