SARIKEI, 13 SEPT : Faktor perubahan cuaca adalah sebagai salah satu punca utama peningkatan jumlah kes tangkapan ular di daerah Sarikei dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata peningkatan ketara berlaku ketika musim panas apabila pihak bomba menerima sekurang-kurangnya tiga hingga empat kes sehari membabitkan reptilia itu.
Sebahagian besar ular yang ditangkap katanya adalah spesis sawa, cincin emas, senduk, ular selinsing, ular lidi dan tedung selar.
“Bagi kes menyelamat atau khidmat khas iaitu kes tangkapan ular yang telah dihadiri balai bomba Sarikei pada tahun 2021 dari Januari hingga Ogos hanya melibatkan kes tangkapan ular iaitu sebanyak 162 kes di sekitar lokasi daerah Sarikei.
“Bagi kes tangkapan ular dilakukan iaitu di mana haiwan tersebut berada di dalam saluran kumbahan tandas kediaman yang menyukarkan pihak kita untuk menangkap dan mengeluarkan ular berkenaan,” katanya ketika dihubungi TVS.
Sebagai persedian, anggotanya kerap melakukan latihan yang berkaitan berikutan sedar terhadap bahaya dan risiko menangkap haiwan berkenaan.
Pada masa sama katanya, ilmu rawatan awal turut dipelajari bagi meningkatkan kecekapan dan kemahiran anggota ketika menjalankan operasi.
“Sedia maklum binatang berbisa ini sering berada di mana-mana lokasi untuk mencari makanan atau habitat telah diganggu dan akan mencari habitat yang baru.
“Pihak bomba akan sentiasa memberi nasihat kepada semua penduduk yang berada di sekitar daerah Sarikei mahupun di luar kawasan supaya sentiasa berwaspada, berhati-hati dan sentiasa menjaga kebersihan sekitar luaran dan dalaman rumah,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak sendiri jika terserempak dengan haiwan tersebut kerana boleh mengancam keselamatan mereka.
Sebagai tindakan susulan katanya, mereka perlu menghubungi bomba atau agensi yang berkaitan dengan kadar yang segera.