BAU, 13 Sept : Seorang pemandu jengkaut dilaporkan telah tertimbus bersama jenteranya selepas dihempap batu besar dalam satu insiden di Jalan Tanjung Durian, Kampung Tanjung Durian, Bau, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Tawang Lingam berkata kejadian berlaku semasa pekerja-pekerja kuari tengah membersihkan tapak selepas aktiviti mengebom yang dilakukan pada sebelah pagi.
“Kesan dari aktiviti mengebom itu tadi, pihaknya tidak menyedari terdapat batu jatuh dan terus menimpa mangsa.
“Batu-batu masih lagi dilihat jatuh dari tempat dan ini menyukarkan pihak bomba melakukan kerja-kerja penyelamatan,” katanya ketika dihubungi TVS pada Isnin.
Jentera dan pemandu dipercayai dihempap batu sebesar anggaran 20 meter.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3:18 petang dan bergegas ke lokasi untuk sesi pemantauan.
Kerja-kerja pembersihan tapak menuju ke lokasi jengkaut tertimbus diberhentikan pada jam 4:45 petang susulan cuaca buruk namun diteruskan semula sekitar jam 5:30 petang.
Pihak bomba melakukan aktiviti penggerudian bagi mempercepatkan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Untuk rekod, mangsa dikenali sebagai Anthony Kanna berumur 48 tahun.
Lokasi mangsa dan jenteranya tertimbus dianggarkan terletak 50 meter dari pos kawalan tempat kejadian bomba.
Punca kejadian masih dalam siasatan.
Berita selanjutnya akan menyusul.