Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Bekas Juara Remaja Dunia Jin Wei Umum Persaraan

KUALA LUMPUR, 13 September: Bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei hari ini mengejutkan dunia badminton, apabila mengumumkan persaraannya daripada sukan itu pada usia 21 tahun.


Pemain berasal dari Pulau Pinang mengumumkan persaraan pada usia muda itu menerusi satu video yang dimuat naik di YouTubenya, hanya dua hari selepas tidak tersenarai dalam skuad Piala Sudirman.


Jin Wei menyatakan antara sebab keputusannya itu kerana tempoh pemulihan yang panjang selepas  menjalani pembedahan akibat sakit dalam perut pada 2019.


“Saya telah bersama pasukan kebangsaan untuk tujuh tahun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk peluang dan juga kepada semua rakan dan peminat. Saya harap semua kekecewaan dan impian saya, akan dapat diteruskan oleh rakan-rakan seperjuangan, Lee Zii Jia dan Lai Pei Jing,” katanya.


Pada Sabtu, BAM tidak menyenaraikan Jin Wei dalam skuad Piala Sudirman disebabkan ‘tidak bersedia dari segi fizikal’ untuk kejohanan berpasukan campuran itu, tetapi menyenaraikannya untuk Piala Uber. 


Piala Sudirman dijadualkan berlangsung di Vantaa, Finland dari 26 Sept hingga 3 Okt, manakala akhir Piala Thomas dan Piala Uber di Aarhus Denmark dari 9 hingga 17 Okt.


Menjuarai Piala Dunia Remaja dua kali pada edisi Lima 2015 (Peru) dan Markham 2018 (Kanada), Jin Wei juga memenangi gelaran di Sukan Olimpik Remaja Buenos Aires 2018 dan Sukan SEA Kuala Lumpur.


Dilihat sebagai juara perseorangan wanita yang akan datang, Jin Wei berada dalam kelompok 25 pemain terbaik dunia, dengan menduduki tempat ke-24 pada Ogos 2018, namun kini menduduki tempat ke-103 dunia selepas berehat panjang selepas pembedahan.


Beliau seperti kembali kepada prestasinya apabila layak ke perlawanan akhir di Antarabangsa Sepanyol pada Jun sebelum tewas kepada rakan senegara S. Kisona, namun pengumumannya hari ini memusnahkan harapan peminatnya.


— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan