KUALA LUMPUR, 13 Sept: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menyeru kerajaan mempercepatkan pemulihan ekonomi menerusi penggubalan dasar-dasar mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan daya saing negara.
Seri Paduka bertitah, perbelanjaan yang sewajarnya turut perlu disediakan bagi membiayai langkah kesihatan awam, menyediakan bantuan kepada golongan yang terjejas serta sokongan untuk menggiatkan aktiviti perniagaan selaras dengan pembukaan ekonomi.
Al-Sultan Abdullah bertitah, untuk membolehkan perbelanjaan tambahan bagi tujuan berkenaan, kerajaan akan membentangkan cadangan di Dewan Rakyat bagi meningkatkan siling perbelanjaan Kumpulan Wang COVID-19, serta had statutori hutang kerajaan.
“Peningkatan daya saing negara juga perlu difokuskan terhadap usaha menambah baik ekosistem serta persekitaran perniagaan bagi meneroka penciptaan kekayaan baharu dan menambah nilai terutamanya oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.
Seri Paduka berkeyakinan bahawa meskipun pandemik COVID-19 telah memberi impak negatif terhadap sektor-sektor tertentu negara, ekonomi Malaysia akan mula menunjukkan pemulihan selari dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dan seterusnya memberi keyakinan kepada semua pemegang taruh dan para pelabur.
Al-Sultan Abdullah bertitah perusahaan mikro, kecil dan sederhana juga perlu diberi galakan untuk menguruskan perniagaan secara digital untuk menjamin akses pasaran yang lebih luas, manakala bidang-bidang pertumbuhan ekonomi turut perlu segera dikenal pasti supaya Malaysia tidak ketinggalan di arena global.
Baginda bertitah inisiatif baharu dan aktiviti tambah nilai menerusi penggunaan automasi dan teknologi untuk memajukan beberapa sektor termasuk perladangan, komoditi dan pelancongan perlu dipercepatkan pelaksanaannya.
“Sektor-sektor tersebut sangat berpotensi untuk penciptaan sumber kekayaan baharu negara, di samping berupaya menjamin sekuriti dan nutrisi makanan negara,” titah Al-Sultan Abdullah.
Kerajaan akan turut membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025 dan bakal memperkenalkan beberapa pembaharuan dasar dan transformasi struktur untuk membawa pembangunan negara pada asas yang lebih kukuh, titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong turut menyambut baik komitmen kerajaan dalam memacu pertumbuhan prestasi ekonomi negara agar lebih lestari, mapan dan berdaya saing khususnya dalam pengukuhan sektor perdagangan dan pelaburan.
Sehingga kini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat yang bernilai RM530 bilion serta Belanjawan 2021 sebanyak RM322.5 bilion.
– BERNAMA