KUCHING : Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah memaklumkan hampir kesemua daripada 121 orang gelandangan di Sarawak sudah divaksinasi kecuali di Bintulu.
Menurutnya, proses pemberian vaksin untuk gelandangan di Bintulu mula dilaksanakan pada 11 September (semalam) yang melibatkan 18 orang penerima vaksin.
Daripada jumlah itu, 31 orang gelandangan di Kuching, seorang di Samarahan, tiga di Serian, seorang di Betong, tujuh di Sarikei, 28 di Sibu, tujuh di Kapit dan 23 di Miri sudah divaksinasi sekurang-kurangnya dengan dos pertama.
Terdapat tiga pendekatan diambil dalam pemberian suntikan vaksin kepada gelandangan iaitu dengan memnempatkan gelandangan di Pusat Penempatan Sementara Gelandangan (PPSG) sebelum diberi dos pertama dan kemudian dos kedua.
Kedua, gelandangan yang menyenangkan dan memberi kerjasama akan dibawa ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat.
Pendekatan seterusnya adalah secara “mobile” khusus untuk mereka yang mempunyai isu kesihatan mental dan sukar atau enggan memberikan kerjasama untuk dibawa ke PPV.
Untuk rekod, seramai 101 orang gelandangan di seluruh Sarawak telah mendapat suntikan dos pertama vaksin COVID-19 manakala 42 orang sudah lengkap dua dos vaksin setakat 5 September lepas.
Sementara itu, seramai 13,155 atau 99.01 peratus orang kurang upaya (OKU) di Sarawak sudah divaksin setakat ini.
Fatimah berkata jumlah ini termasuk atlet paralimpik, komuniti di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), OKU yang terlantar di atas katil, pelajar yang berada di sekolah khas dan kelas integrasi di Sarawak.
Pada keseluruhannya, seramai 72 peratus atau 16,856,812 populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya semalam memaklumkan 38,001,646 dos vaksin sudah diberikan setakat Jumaat, termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos.
“Semalam, sebanyak 287,059 dos vaksin telah diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” kata JKJAV.
PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas untuk memberikan vaksinasi bagi membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.