KOTA SAMARAHAN : Buat pertama kalinya program International Cross-Cultural Virtual Mobility Programme 2021 (ICCVMP21) telah diadakan secara maya.
Program yang berlangsung selama empat hari dari 7 hingga 10 September itu merupakan anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Sarawak.
ICCVMP21 merupakan salah satu inisiatif baharu khususnya bagi pelajar UiTM se-Malaysia untuk mewujudkan hubungan dua hala yang efektif serta jalinan kolaboratif di antara UiTM dengan universiti-universiti antarabangsa yang mempunyai memorandum persefahaman bersama UiTM.
Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada peserta program berhubung pertukaran bahasa dan perkongsian budaya di Sarawak dengan negara luar.
Program tersebut telah dirasmikan Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurut Abdul Karim, program ini merupakan salah satu inisiatif untuk memperkenalkan budaya Sarawak kepada dunia luar serta meningkatkan persefahaman, dan sikap menghormati kepelbagaian kaum dan etnik dalam kalangan belia.
“Program ini menyediakan platform yang amat baik bagi anda untuk mengembangkan pengetahuan anda dengan berkongsi jaringan yang biasanya mustahil pada waktu pandemik global, ” katanya.
Antara aktiviti yang dianjurkan menerusi program ini adalah pertandingan tarian etnik, program batik Indonesia, serta sesi ceramah memperkenalkan warisan dan kecantikan bumi kenyalang .