ASAJAYA, Sept 11: Jika dahulu, Nonok yang kini dikenali sebagai Asajaya hanya boleh dihubungkan dengan menggunakan pengangkutan air, tetapi kini, segala kemudahan asas sudahpun tersedia.
Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, itu antara pencapaian yang amat berharga hasil daripada jass dan pengorbanan generasi terdahulu yang rela berjuang dan berkorban jiwa raga dan nyawa demi menuntut kemerdekaan.
“Jika dahulu, Asajaya hanya boleh dihubungi dengan bot atau perahu yang merentasi Laut China Selatan dengan deruman ombak yang kuat melanda beting Sebandi.
“Namun, kini telahpun tersedia kemudahan seperti jalan raya sehinggkan pencapaian ekonomi penduduk juga berada pada tahap yang membanggakan,” katanya pada pelancaran Program Kembara Semarak Merdeka 2021 di sini, pada Sabtu.
Justeru, Abdul Karim yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Asajaya mengingatkan semua bahawa tanpa pengorbanan generasi terdahulu, generasi musa tidak akan mampu menikmati segala yang telah dicapai sehingga ke hari ini.
Katanya, pengetahuan mengenai sejarah negara adalah penting sebagai tunjang kepada pembentukan dan pembangunan sesebuah negara mahupun bangsa.
Beliau turut bertekad untuk membawa lebih banyak pembangunan dan perubahan di Asajaya sebagai tanda penghargaan terdahap perjuangan generasi terdahulu selain pada masa sama demi manfaat masyarakat setempat.
Katanya lagi, meskipun secara fizikalnya Asajaya dilihat membangun dengan pesat, namun masih banyak perancangan dan pembangunan terutamanya di kampung-kampung yang perlu diberi perhatian
“Usaha kerajaan melipat gandakan pembangunan di kawasan luar bandar juga adalah selaras dengan hasrat untuk menjadikan Sarawak sebagai antara negeri paling maju pada masa depan,” ujarnya.
Selain itu, Kerajaan Sarawak juga katanya telah melaksanakan Skim Pembesaran Kampung (SPK) untuk menyediakan lot-lot kediaman dengan kemudahan asas seperti rangkaian jalan, sistem perparitan, bekalan air dan bekalan elektrik bagi menampung pertambahan penduduk.
Langkah tersebut bertujuan untuk memenuhi keperluan rakyat yang berpendapatan rendah dan tidak mempunyai tanah sendiri.