SIBU, 10 Sept : Seramai 400 orang pelajar SMK Luar Bandar Sibu No.1 telah mendapat suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Komuniti Sibujaya, pada Jumaat.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan, Chiew Soon Sii berpuas hati dengan kehadiran pelajar meskipun kebanyakan mereka datang dari daerah yang jauh.
Jelasnya, 90 peratus pelajar dalam senarai yang layak divaksin telah hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin dan selebihnya mungkin memilih untuk divaksin di tempat lain.
“Saya difahamkan ada antara remaja datang dari Bintulu, Selangau, Dalat, Sarikei dan sebagainya.
“Kebanyakan mereka ada masalah pengangkutan tapi apa yang membuat saya lega pada hari ini adalah saya rasa kehadiran sudah mencecah sebanyak 300 lebih pelajar yang datang.
“Mungkin ada sebahagian daripada mereka memilih untuk divaksin di tempat lain.
“Jadi boleh dikatakan lebih 90 peratus yang datang hari ni,” katanya ketika ditemui pemberita TVS di PPV Dewan Komuniti Sibujaya di sini, hari ini.
Beliau turut berharap dengan pemberian vaksin pada remaja, ia sekurang-kurangnya dapat memberi perlindungan kepada mereka dari mendapat jangkitan yang serius.
Pemberian vaksin untuk pelajar sekolah tersebut merupakan hari terakhir pelaksanaan program vaksinasi remaja di PPV Dewan Komuniti Sibujaya.
Menurut Ketua PPV Dewan Komuniti Sibujaya, Dr Nik Azfar Azirah Nik Aziz, para pelajar daripada lima buah sekolah telah dijadualkan untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV berkenaan.
“Purata pelajar divaksin adalah dalam 1,600 orang. Hari pertama 700, hari kedua dan hari ini iaitu hari terakhir, sebanyak 400 orang.
“Sepanjang tiga hari beroperasi, Alhamdulillah kami juga dibantu guru-guru dalam menguruskan senarai nama dan membantu kita untuk mengisi borang untuk ibu bapa,” jelasnya.
Sementara itu, rata-rata pelajar lega setelah mendapatkan suntikan vaksin dan berharap boleh kembali belajar di sekolah secepat mungkin.
Bagi Vanessa Unyie Bundak, dia lega setelah divaksin ekoran bakal menempuhi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
Justeru dia berharap dapat kembali ke sekolah dan menikmati pembelajaran yang lebih baik daripada kaedah PDPR kerana cabaran internet yang dihadapinya.
“Pembelajaran bersemuka lebih berkesan bagi saya,” katanya.
Bagi Angjelina Pia Tony pula, dia gembira dan berasa lebih selamat untuk kembali belajar di sekolah dan berjumpa rakan-rakannnya.
Dia berharap agar remaja lain juga tidak takut mengambil vaksin bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.
“Saya harap semua untuk tidak takut mengambil vaksin, untuk yang antivaksin tu ambil lah vaksin sebab ia boleh mencegah jangkitan yang serius, tidak perlu takut,” katanya ringkas ketika ditemui.