KUALA LUMPUR, 10 Sept : Hasrat Sarawak United FC untuk menjulang trofi Liga Perdana musim ini goyah apabila tumbang 0-1 kepada pencabar utamanya, Negeri Sembilan FC pada perlawanan top of the table clash di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.
Diramal berlangsung sengit, perlawanan bagaimanapun dicemari insiden kad merah serta insiden kekecohan melibatkan pegawai pasukan sejurus perlawanan berakhir.
Sarawak yang mendahului liga sebelum perlawanan , bermula dengan baik pada separuh masa pertama apabila mengawal permainan serta mempunyai deretan peluang namun ketumpulan jentera serangan menafikan peluang untuk memimpin perlawanan.
Pada minit ke-10 , Ngap Sayot nyaris di depan namun rembatan Sandro Da Silva tersasar.
Memasuki separuh masa kedua, skuad Hobin Jang Hobin yang banyak bertahan pada separuh masa pertama, mula mengimbangi perlawanan dan sesekali menguji kubu Sarawak.
Detik hitam Sarawak terjadi pada minit ke -64 apabila penjaga golnya, Sharbinee Allawee dilayangkan kad merah dan seterusnya Negeri Sembilan dihadiahkan sepakan penalti.
Bagaimanapun, penyerangnya, Francis Kone gagal menyempurnakan peluang terhidang apabila sepakannya melambung tinggi.
Ketika perlawanan diramal berkesudahan tanpa jaringan, Kone menebus kesilapannya apabila bola tandukannya menewaskan penjaga gol gantian Sarawak, Shaiful Wazizi pada masa kecederaan.
Keputusan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil, Mohamad Kamil Zakaria Ismail yang menyaksikan situasi di luar padang semakin tegang.
Kekalahan keempat ini menyebabkan Sarawak tergelincir ke tangga kedua manakala Negeri Sembilan kini memimpin carta liga dengan kelebihan satu mata iaitu 38.
Aksi terakhir liga musim ini bakal menjadi penentu pasukan manakah yang bakal bergelar juara dengan Sarawak akan berdepan JDT II manakala Negeri Sembilan bakal diuji PDRM FC. -TVS