TAIPING, 10 Sept: Seorang ibu tunggal mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan anjing peliharaannya mencederakan seorang kanak-kanak perempuan, Julai lalu.
K. Saroja Devi, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Adibah Abdul Kadir.
Mengikut pertuduhan, Saroja Devi didakwa cuai sehingga menyebabkan haiwan peliharaannya mencederakan Nurilmi Natrah Mohd Muzri, 12, di hadapan sebuah rumah di Lorong Satu, Kampung Larut Tin Sambungan di sini kira-kira pukul 5 petang pada 10 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Faakihin Ahmad Fauzi manakala Saroja Devi diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Hajar Hamzah.
Nur Faakihin menawarkan jaminan RM2,000 tetapi Siti Hajar memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM500 kerana tertuduh yang hanya mengambil upah sebagai tukang masak, mempunyai tujuh orang anak berusia lingkungan 11 hingga 22 tahun.
Mahkamah menetapkan 25 Okt untuk menunggu hasil laporan perubatan mangsa sebelum menjatuhkan hukuman dan ibu tunggal itu dibenar diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin.
-BERNAMA