SIBU, 8 Sept : Seramai 9,289 orang remaja berusia 16 dan 17 tahun dari 33 sekolah menengah di sini mula diberikan suntikan vaksin hari ini. Pemberian vaksin untuk golongan tersebut akan berlangsung selama empat hari di tiga pusat pemberian vaksin, PPV di Sibu menggunakan vaksin jenis Pfizer Biontech.
Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu, Dr Annuar Rapaee tidak menolak kemungkinan ada pelajar yang tidak hadir untuk divaksinasi dan pihaknya akan mengenalpasti puncanya.
Kaedah jumpa bersemuka juga akan digunakan termasuklah mengadakan sesi kaunseling di sekolah. “Saya pasti akan ada yang tak datang dan kita akan lihat berapa ramai dan kita akan kenalpasti puncanya, mungkin masalah pengangkutan atau sebagainya.
“Tetapi kita akan adakan “mopping” dan jika ada yang ragu-ragu, kita mungkin akan mengadakan program kaunseling bersama pelajar dan ibu bapa di sekolah, kerana yang paling penting adalah persetujuan ibu bapanya, bukan pelajar,” ujarnya.
Tambah Annuar, mereka yang berusia 12 dan 15 tahun juga akan diberikan vaksin namun hanya memfokuskan remaja yang mempunyai komobid dahulu.
Secara peribadi beliau berpandangan golongan remaja dalam lingkungan usia tersebut juga penting dan kajian sedang giat dijalankan di luar negara untuk memastikan semua golongan mendapatkan suntikan vaksin.
“Kita sebenarnya akan mula memberikan vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 15 tahun juga namun hanya untuk mereka yang mempunyai komobid”
“Secara peribadi saya rasa mereka patut diberikan vaksin juga dan kajian di luar negara sedang dijalankan untuk golongan ini,” katanya.
Jelas Annuar lagi, program vaksinasi telah membuktikan ia mampu mengurangkan kes jangkitan yang serius terutamanya di Sarawak walaupun kes jangkitan masih berlaku dan perbandingannya dapat dilihat jelas dengan negeri lain yang belum mencapai imuniti kelompok.