KUCHING: Sarawak United FC dijangka mampu meraih gelaran juara Liga Perdana selepas berjaya melayakkan diri untuk beraksi dalam saingan Liga Super pada musim depan.
Pengarah Teknikal Sarawak United FC, B. Sathianathan berkata, kejayaan berganda itu akan tercapai, memandangkan pasukan kendalian jurulatih E.Elavarasan itu mempunyai banyak kelebihan berbanding pasukan lain.
“Sarawak United mempunyai kelebihan dua mata daripada pasukan Negeri Sembilan, Sarawak juga ada dua perlawanan, sekiranya aksi bertemu Negeri Sembilan mencatatkan keputusan seri, gelaran juara berada dalam tangan pasukan Sarawak, saya juga yakin Sarawak boleh kalahkan Negeri Sembilan itu sahaja dan saya optimis.” katanya ketika dihubungi TVS pada Rabu.
Mengulas mengenai perlawanan Sarawak United ketika bertandang ke Pasir Gudang Johor pada Rabu, Sathianathan menyifatkan pasukan Sarawak telah beraksi dengan baik namun kurang bernasib baik.
“Semalam dengan pasukan Kuching City, walaupun kita tewas, tetapi permainan kita agak baik..cuma kurang bernasib, seperti kita tahu kuching pun bermain dengan baik sekali tak pernah mereka bermain seperti semalam tapi bila dijadual bertemu Sarawak United mereka bermain bermati-matian.” katanya lagi.
Dalam pada itu Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia berharap, skuad Kenyalang Emas akan melakukan persedian terbaik selain memberikan fokus untuk menjulang trofi johan Liga Perdana musim ini.
Sarawak United FC dijadual akan bertemu seteru liga perdana, iaitu pasukan negeri sembilan pada 10 september ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras.