KUALA LUMPUR, 7 Sept : Keberanian seorang lelaki merakam perbuatan mencurigakan dua individu sedang ‘membaiki’ kereta rakannya telah membantu polis memberkas dua penjenayah yang dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri komponen sistem ekzos kereta di sekitar Ampang.
Dalam kejadian pada Isnin lalu berhampiran sebuah hotel, lelaki berkenaan menegur kedua-dua suspek dengan bertanya apa yang sedang dilakukan oleh mereka terhadap kereta jenis Toyota Innova yang diparkir di kawasan terbuka itu.
Menerusi video yang tular, salah seorang penjenayah itu menjawab sedang membaiki kereta dan bertindak melarikan diri setelah menyedari perbuatannya dirakam menerusi telefon pintar.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis berjaya menahan dua lelaki berkenaan pada hari sama di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
” Antara barangan yang dirampas dalam siri serbuan ini adalah dua buah tabung ekzos, dua penyambung, pelbagai peralatan membuka ekzos dan sebuah kereta jenis Proton Iriz yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurutnya, semakan lanjut mendapati suspek pertama berusia 24 tahun mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes curi manakala suspek kedua berusia 25 tahun tidak mempunyai rekod jenayah.
” Suspek mengaku terlibat dalam beberapa kes mencuri tabung ekzos kereta untuk mendapatkan besi platinium yang berharga dalam beberapa kejadian di sekitar Ampang dan Kajang,” katanya.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 379 A (1) dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan polis akan memohon perintah reman pagi ini. -TVS