SEMPORNA, 7 Sept — Keputusan mengenai pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada pelajar sekolah akan dimuktamadkan pada satu mesyuarat penyelarasan melibatkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan Khamis ini.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sebaik keputusan mengenai perkara itu dibuat pada mesyuarat itu, ia akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan seterusnya.
“Saya ada mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan serta Menteri Kanan Pendidikan (Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin) bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan.
“Apa pun kita akan buat keputusan muktamad selepas mesyuarat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program outreach suntikan vaksin COVID-19 kepada penduduk di Pulau Larapan dekat sini hari ini.
Beliau berkata selain suntikan vaksin kepada pelajar sekolah, terdapat cadangan lain berkenaan pendidikan dan kesihatan ketika menghadapi cabaran COVID-19 yang akan dibincangkan pada mesyuarat itu, bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut.
Mengenai situasi Sarawak yang semalam mencatat kes baharu COVID-19 tertinggi dengan 3,714 kes dengan kadar vaksinasi di negeri itu mencapai 80 peratus, Khairy berkata 99 peratus kes merupakan pesakit yang berada dalam kategori satu dan dua.
“Hanya empat pesakit berada di kategori tiga, empat dan lima, (kes di Sarawak) ini menunjukkan kita dalam fasa melaksanakan peralihan kepada endemik, seolah kita hidup dengan virus ini, masih lagi ada jangkitan tetapi kesannnya tidak teruk sangat dengan batuk dan demam ringan sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy memuji kesedaran kepentingan vaksinasi COVID-19 dalam kalangan penduduk di kawasan pulau dan pedalaman di Sabah yang menurutnya berada pada tahap yang tinggi pada masa ini.
Beliau berkata ini dapat dilihat dengan sambutan amat menggalakkan terhadap program outreach suntikan vaksin COVID-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) sementara di dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Pulau Larapan di sini hari ini yang menyediakan 1,000 dos vaksin jenis dos tunggal CanSino.
“Bukan sahaja penduduk pulau ini datang mendapatkan suntikan vaksin tetapi penduduk dari pulau berdekatan. Komunikasi untuk tingkat kesedaran semakin baik dan penduduk tahu mengenai vaksinasi ini melalui ketua kampung, dan penduduk ini sedar vaksinasi itu untuk kesihatan.
“Semporna menerima 26,000 dos vaksin CanSino dan setakat ini 3,000 sudah digunakan,” katanya sambil memberitahu Sabah akan terus diberi keutamaan untuk tambahan bekalan vaksin CanSino yang mudah digunakan di lapangan kerana ia hanya memerlukan satu dos.
— BERNAMA