Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Selain beberapa permukaan jalan yang tidak rata, pemanduan sejauh 750km dari Kuching ke Miri berjalan lancar.

Internet kelajuan tinggi bakal pacu ekonomi digital Sarawak di peringkat global

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 7 Sept: Pakar ekonomi , pemain industri serta agensi Kerajaan Persekutuan berkaitan ekonomi digital menyambut baik usaha Kerajaan Sarawak untuk memastikan 90 peratus kawasan di negeri berkenaan menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi menjelang tahun depan.

Melihat inisiatif berkenaan dalam kerangka yang lebih besar, pakar berpendapat ia bakal melonjak pertumbuhan ekonomi digital negeri dan seterusnya memanfaatkan perniagaan dan rakyat.

Koordinator Sarjana Keusahawanan dan Inovasi (Eksekutif) , Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Noor Azuan Hashim berkata, langkah berkenaan tepat pada masanya pada ketika negara -negara di seluruh dunia memberi tumpuan penting kepada pembangunan ekonomi digital masing – masing.

“ Pada masa sama, saya turut berpendapat bahawa pembangunan ekonomi digital di Sarawak perlu lebih agresif kerana banyak peluang dan ruang yang boleh diteroka oleh rakyat memandangkan negeri berkenaan mempunyai hasil bumi yang sangat mengalakkan.

“Saya percaya hasil bumi unik yang dimiliki membolehkan mereka berniaga secara digital bukan sahaja dengan Semenanjung Malaysia malahan ke pasaran global. Kelajuan internet dapat memudahkan perniagaan, perkhidmatan penghantaran dan seterusnya meningkatkan ekonomi digital negeri berkenaan,” katanya.

Mengambil contoh negara jiran, Noor Azuan berkata, ketika melakukan kajian di Indonesia, beliau teruja melihat capaian internet di negara berkenaan.

“Pengalaman saya di Pontianak, Acheh,Padang dan Bogor mendapati walaupun negara mereka besar dan mempunyai penduduk padat namun kemudahan internet yang laju dapat diakses dan harganya juga murah,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bahawa agensi kerajaan di negeri itu kini melipat ganda usaha untuk perlaksanaan Straregi Pembangunan 2030 Pasca COVID Sarawak dengan aspek yang diberi perhatian ialah aspek kesalinghubungan internet untuk memanfaatkan sektor swasta dan awam.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada keseluruhan Sarawak dapat menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi menjelang 2022 menerusi pendekatan yang sedang dilaksanakan oleh pelbagai agensi termasuklah Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS).

Bagi pensyarah komunikasi pemasaran, Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Hasrina Mustafa berkata, beliau melihat langkah berkenaan akan melonjakkan potensi e-perniagaan di negeri berkenaan.

“Ini merupakan berita yang amat menarik kerana kita melihat geografi Sarawak yang sangat luas. Penyediaan internet berkelajuan tinggi akan memberi peluang sama rata kepada rakyat Sarawak kerana mereka akan mendapat pendedahan kepada teknologi digital baharu seperti cloud computing dan teknologi digital termaju yang lain,” katanya kepada TVS.

Mengulas lanjut, Dr Hasrina berkata, beliau berharap apabila inisiatif berkenaan mencapai matlamat, strategi baharu diperlukan.

“Apabila sudah mempunyai platform, kita perlukan pengisian seperti latihan keusahawan supaya kadar kecapaian internet dapat digunakan secara maksimum di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) , agensi utama dalam memacu transformasi digital negara turut mengalu-alukan langkah Kerajaan Sarawak meningkatkan capaian internet di negeri berkenaan.

Ketua Pegawai Perniagaan Digitalnya, Aiza Azreen Ahmad berkata, inisiatif berkenaan akan membolehkan lebih banyak akses kepada solusi digital untuk rakyat Sarawak selain memastikan kemakmuran ekonomi dicapai dengan pantas oleh penduduk terutamanya di kawasan pedalaman.

“ Ini juga sejajar dengan usaha MDEC untuk memacu ekonomi digital ke arah transformasi digital,” katanya.

MDEC pada masa sama katanya turut teruja dengan tumpuan yang diberikan kerajaan negeri untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital menerusi pelbagai inisiatif.

“ Difahamkan Kerajaan Sarawak juga telah menyediakan geran sebanyak RM20 juta di bawah program Go Digital Sarawak yang diperkenalkan selaras peningkatan tren pengusaha menceburkan diri dalam perniagaan dalam talian untuk menjana pendapatan ketika pandemik yang dijangka akan memanfaatkan lebih 2,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” katanya.

Beliau memberitahu, di pihak MDEC juga, terdapat pelbagai insiatif yang turut boleh dimanfaatkan perniagaan di Sarawak ke arah pendigitalan termasuklah , Program Accelerator, 100GoDigital Coaching dan Smart Automation Grant (SAG).

Bagi Fendy Oxe, seorang peniaga pakaian dan kasut terpakai di bawah jenama SB Bundle di Kuching berkata, dia menyambut baik inisiatif berkenaan kerana boleh melancarkan urusan perniagaannya secara dalam talian.

“Keputusan untuk menaik taraf sistem internet di negeri ini mempunyai banyak manfaat kepada peniaga online. Sebahagian daripada kami berdepan masalah capaian internet kurang stabil terutamanya ketika berkomunikasi dengan pelanggan di luar Kuching seperti Lawas, Mukah dan Dalat,” katanya.

Sebagai contoh, Fendy berkata, dia kerap mempromosikan produknya menggunakan kaedah siaran langsung di media sosial namun berdepan kekangan membabitkan capaian yang kurang memuaskan untuk pelayar di kawasan luar bandar.

“Pelanggan terpaksa berhubung semula dengan saya dan meminta supaya gambar produk dihantar sekali lagi kerana capaian intenet mereka ketika melayari siaran langsung di media sosial kurang jelas,” katanya. -TVS

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan