KOTA KINABALU : Pengeluaran beras negara dijangka akan dapat ditingkatkan hingga 80 peratus daripada keperluan rakyat Malaysia.
Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, hal tersebut merupakan aspirasi yang ingin dicapai kerajaan dalam tempoh 10 tahun akan datang menerusi Dasar Agromakanan Negara 2021-2023 (DAN 2.0).
“Jadi itu merupakan satu aspirasi yang hendak dicapai oleh kerajaan melalui MAFI.
“Jadi pelbagai usaha dan pendekatan sedang dibuat oleh kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan bagi memenuhi keperluan. Kita harus bergerak ke arah kemampuan untuk mengeluarkan beras bagi keperluan rakyat Malaysia,” katanya.
Setakat ini negara hanya mampu mengeluarkan 70 peratus beras tempatan manakala 30 peratus adalah beras import.
Bagi negeri Sabah pula, ia hanya mampu mengeluarkan sebanyak 20 peratus sahaja beras tempatan daripada keperluan masyarakat.
Dr Ronald turut menyeru agar kerajaan persekutuan dan negeri dapat bekerja sama dalam melaksanakan tindakan bagi meningkatkan lagi jumlah pengeluaran beras tempatan di Sabah.