KUCHING : Kebimbangan mengenai proses dan prosedur Undi 18 memaksa pihak yang bertanggungjawab untuk melaksanakannya dengan penuh teliti dan jelas.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau tidak mahu timbul isu seperti pendaftaran untuk mengundi bagi golongan 18 tahun ke atas tidak diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas alasan proses masih lagi belum selesai.
“SPR sewajarnya perlu bertindak dan mengatur proses berkenaan dan tidak berdiam diri. Saya bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan menyokong kebenaran kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas untuk mengundi,” katanya dalam satu rakaman video yang dikongsi di laman Facebook rasminya, pada hari ini.
“Namun proses dan prosedurnya perlu diperhalusi terlebih dahulu, terutamanya melibatkan pendaftaran mereka.”
Mahkamah Tinggi sebelum ini telah memerintahkan SPR untuk melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.
Beliau menJelaskan, tindakan lima anak muda yang membawa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuching di sini berkemungkinan kerana mereka tidak nampak sebarang langkah oleh SPR untuk merealisasikan perkara tersebut.
Beliau terus menggesa SPR untuk menunjukkan bahawa proses ke arah komitmen berkenaan sedang dijalankan meskipun negara dilanda musibah COVID-19.
Bagi pihak Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula, katanya, beliau percaya perkara ini akan disokong di Parlimen bagi membolehkan mereka berusia 18 tahun ke atas untuk mengundi.