TOKYO : Biarpun mempertahankan emas di Sukan Paralimpik Tokyo, jaguh olahraga kebangsaan Abdul Latif Romly ternyata gagal mengawal emosinya, selepas tidak berupaya memecahkan rekod dunia miliknya sendiri di sini.
Abdul Latif yang memenangi emas keduanya dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) selepas kali pertama melakukannya di Rio 2016, merupakan pemegang rekod dunia lompatan sejauh 7.64 meter (m) di Sukan Para Asia 2018 di Indonesia.
Datang dengan misi untuk membuat lompatan sejauh 8m, atlet berusia 24 tahun yang membuat lompatan terbaik sejauh 7.45m pada percubaan keduanya itu juga, sama sekali tidak menduga apabila tidak berjaya melengkapkan lompatannya hari ini.
“Alhamdulillah, saya bersyukur menang kali kedua di pentas Paralimpik walaupun kecewa tidak dapat pecahkan rekod dunia.
“Saya juga kecewa tak dapat habiskan lompatan, selalunya kejohanan atau temasya besar saya habiskan, pertama kali jadi macam ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat.
Atlet dari Perlis itu dihimpit kecederaan selepas mencatat 5.56m pada lompatan kelimanya dan menyebabkannya tidak dapat meneruskan aksinya.
Beliau kemudian terpaksa diusung dengan kerusi roda oleh pegawai perubatan untuk menerima rawatan lanjut, namun emas tetap memihak kepada Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau mengesyaki sudah mengalami kecederaan selepas tergelincir pada lompatan keempat yang menyaksikan percubaannya dibatalkan, sebelum keadaan kaki kirinya bertambah buruk selepas lompatan kelima.
“Saya cedera selepas ‘take off’ pada lompatan kelima, mungkin ‘groin injury’, nak berdiri pun sakit,” katanya yang belum pernah mengalami kecederaan sedemikian sebelum ini.
Katanya beliau akan menunggu keputusan daripada pegawai perubatan pertandingan bagi mengetahui sejauh mana tahap kecederaannya selepas ini.
Sementara itu, Abdul Latif yang kelihatan sebak sepanjang ditemu bual itu mahu mendedikasikan pingat dimenanginya kepada keluarganya, selepas kali terakhir berjumpa mereka hujung tahun lepas.
Beliau juga menarik perhatian mahu menghadiahkan kejayaannya itu kepada jurulatihnya Shahrul Amri Suhaimi, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-38, kelmarin (2 Sept).
“Pingat ini juga bukti kemenangan di Rio 2016 bukanlah nasib, saya menang lagi di sini. Saya nak cuba capai kemuncak karier di Paris 2024 dan melakukan lompatan sejauh 8m,” tambahnya yang turut memegang rekod Paralimpik di Brazil dengan lompatan sejauh 7.60m.
Saingan sebelah petang di Stadium Olimpik menyaksikan Abdul Latif berada dalam kelas tersendiri apabila terus memimpin kedudukan dengan lompatan pertamanya, 7.26m, yang sudah cukup mengesahkan emas buat Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo.
Athanasios Prodromou dari Greece merangkul perak menerusi lompatan terbaik 7.17m, manakala lompatan sejauh 7.12m membantu atlet Australia, Nicholas Hum untuk membawa pulang gangsa.
Kejayaan Abdul Latif Stadium Olimpik pada hari ini menyaksikan kontinjen Malaysia telah mengutip tiga emas sekali gus mencapai sasaran ditetapkan sebelum ini.
Pemenang pingat emas Malaysia yang lain adalah jaguh powerlfiting Bonnie Bunyau Gustin dan Cheah Liek Hou dari sukan badminton, manakala Jong Yee Khie (powerlifting) dan Chew Wei Lun (boccia) pula meraih perak.
— BERNAMA