Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Warga Myanmar dipenjara 18 bulan guna pasport individu lain dapatkan vaksin

ByYazid Ibrahim

MELAKA, 3 Sept — Padah menggunakan pasport individu lain untuk mendapatkan dua suntikan vaksin COVID-19, seorang wanita warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara berjumlah 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini. 

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas That That Mar, 27, setelah mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dilakukan di sebuah klinik di Taman Cheng Perdana, Melaka pada 28 Julai dan 18 Ogos lepas.  

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu telah memperdaya Dr Diong Sheih Yee dan jururawat G. Saavitri dengan menggunakan pasport milik Than Lin Tun bagi mendapatkan suntikan dos pertama dan kedua vaksin COVID-19. 

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, That didakwa mengikut Sekyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali. 

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta yang sama selepas didapati telah masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Hukuman bagi kesalahan itu adalah denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh juga dikenakan tidak lebih enam sebatan jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari memohon hukuman berat dikenakan ke atas That memandangkan kes yang dilakukan wanita itu adalah serius.

Muhammad Nazrin menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 18 Ogos lepas.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan