PUTRAJAYA, 2 Sept — Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2021 ditambah baik daripada edisi terdahulu dari segi pelaksanaan dan manfaatnya kepada pengguna, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Berucap pada majlis prapelancaran KBBM secara maya hari ini, beliau berkata kempen yang dilaksanakan sejak 1984, sentiasa dipertingkat dari semasa ke semasa.
“Kempen tahun ini merupakan kesinambungan dari tahun dahulu dengan penambahbaikan dalam pelbagai pendekatan,” katanya.
Antara lain, kata beliau, pengguna akan diberi diskaun dan harga istimewa bagi membeli barangan keluaran tempatan.
Hasnol Zam Zam berkata KBBM 2020 mencatatkan nilai jualan RM3.3 bilion dengan jumlah ‘stock keeping unit’ (SKU) melebihi 326,000, berbanding RM2.87 bilion nilai jualan, melibatkan 279,000 SKU pada 2019.
Sementara itu, katanya, nilai jualan bagi platform dalam talian ‘marketplace’ ketika KBBM tahun lepas adalah RM145 juta, berbanding RM6.84 juta pada 2019 dan peningkatan ketara itu adalah disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang menyaksikan ramai rakyat Malaysia berbelanja secara dalam talian.
Beliau berkata KBBM signifikan untuk diteruskan berikutan cabaran globalisasi perniagaan dan ‘country of origin effect’ atau kesan negara asal yang mempengaruhi pemilihan dan pembelian barangan import, yang dianggap sebagai pembelian berbaloi dari segi harga atau prestij.
“Pengguna Malaysia harus terus diingatkan secara konsisten untuk memberi keutamaan kepada barangan Malaysia.
“Kita perlu terus buat advokasi dan membuat promosi galakan hinggalah barangan Malaysia menjadi pilihan nombor satu dalam setiap keputusan pembelian,” katanya.
Hasnol Zam Zam berkata KBBM, di samping menyemai semangat patriotisme, juga merupakan platform bagi usaha penjenamaan bagi meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap kualiti produk tempatan
Ia turut mempamerkan kepelbagaian atau ‘versatility’ barangan tempatan, selain membantu memasarkan produk dan memberi dorongan kepada pengusaha tempatan, katanya.
Beliau berkata bagi capaian kempen yang meluas, promosi secara berterusan akan dilaksanakan menerusi saluran media cetak, media elektronik dan platform digital bagi mengetengahkan serta mempromosikan produk tempatan.
Promosi turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik dan kolaborasi khas dengan pihak berkepentingan yang mempunyai pengikut atau pengaruh tersendiri seperti paparan iklan dan siri Animasi Upin dan Ipin, katanya.
Beliau berkata antara rakan kerjasama strategik KBBM dalam sektor peruncitan pada tahun ini adalah AEON Big, AEON Co, Giant, Mydin, 99 Speedmart, The Store, Hero Supermarket, KK Supermart, Eco-Shop, Lotus Store, Econsave, Lulu Group, TF Value-Mart, Bataras, Petronas dan Shell, manakala Shopee, Lazada dan PGMALL merupakan rakan strategik bagi platform dalam talian.
— BERNAMA
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.