Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Dituduh gagal, Surina Shukri balas kritikan

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) , Surina Shukri memulangkan paku buah keras kepada pengkritik yang menghentamnya sejurus menamatkan perkhidmatan di agensi tersebut pada 31 Ogos lalu.

Secara sinis, Surina menyoal kembali apakah kegagalan yang dimaksudkan sepanjang beliau mengemudi agensi peneraju transformasi ekonomi digital negara itu sejak 32 bulan lepas.

“Bagi saya, kegagalan yang sebenar ialah melakukan perkara sama berulang kali sambil mengharapkan keputusan berbeza, tidak mencuba, tidak bersuara, tidak terbuka terhadap idea baharu, tidak mencabar status quo, tidak melihat gambaran yang lebih menyeluruh, tiada keinginan untuk bertindak dan banyak lagi,” tulisnya menerusi hantaran di LinkedIn pada hari ini.

Sebaik sahaja sah meninggalkan MDEC, sebuah portal menerusi berita bertajuk ‘Surina Shukri – the bold move that failed’, mendakwa kekurangan asas ekosistem dan ketidakupayaan untuk bekerja dengan baik bersama rakan kongsi merupakan kelemahan utama yang dipercayai ditujukan kepadanya.

Mengulas lanjut, Surina berkata, pada kebiasaannya, beliau akan mengabaikan kritikan dan hanya fokus kepada tanggungjawabnya tetapi kali ini, beliau terdorong untuk menyatakan sesuatu.

“Sejak beberapa bulan lalu, saya telah bercakap mengenai tempoh perkhidmatan dengan Kementerian Kewangan, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Lembaga Pengarah MDEC dan pegawai kanan di agensi. Saya boleh katakan jawatan saya tidak ada kena mengena dengan prestasi seperti yang didakwa oleh media terbabit,” katanya.

Surina, yang mula menjawat tugas berkenaan pada 2019, berkata apa yang ditulis adalah tidak benar dan tidak adil malah wartawan lain menyatakan ia dilakukan dengan niat tidak baik.

“Tuduhan tidak berasas dan tidak bersandarkan fakta,” katanya.

Dalam soal ini, Surina yang berpengalaman dalam bidang kewangan di Amerika Syarikat selama lebih 20 tahun sebelum beliau bertugas di MDEC berkata, banyak perkara yang perlu dihadapinya di negara ini seperti agenda tersembunyi, politik, ahli politik dan isu kronisme yang sering kali menghalang kemajuan.

“Menjadi agen perubahan tidak pernah mudah,” katanya.

MDEC sebelum ini mengumumkan pelantikan Mahadhir Aziz sebagai CEO baharu berkuat kuasa 1 September lalu bagi menggantikan Surina.

Dalam kenyataannya, MDEC berkata, Mahadhir mempunyai rekod cemerlang melebihi 20 tahun dalam pelbagai industri seperti perkhidmatan kewangan, tenaga (minyak dan gas), teknologi maklumat dan media.

Ikuti TVS di TelegramFacebook, TwitterInstagramTikTok dan YouTube

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan