Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Kabinet Sarawak bincang penganugerahan pingat untuk Bonnie dan Yee Khie

KUCHING: Penganugerahan pingat kebesaran negeri kepada dua atlet paralimpik negara dari Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie, akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Kerajaan Negeri, kata Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata mesyuarat itu juga akan membincangkan insentif lain bagi kedua-dua atlet tersebut, termasuk insentif daripada Kerajaan Negeri yang biasanya berjumlah separuh daripada insentif yang dibayar oleh Kerajaan Pusat.

“Saya sokong mereka (diberi pingat kebesaran negeri) kerana kedua-duanya sudah mengharumkan nama negeri dan negara di persada dunia. Ada jawatankuasa yang akan mencadangkan apa pingat dan penghargaan yang patut diberi kepada mereka,” katanya menerusi video di akaun Facebooknya.

Menurutnya, apa yang penting ialah kedua-dua atlet itu sewajarnya diberi insentif setimpal yang dapat membantu mereka seumur hidup, seperti pemberian pencen oleh Kerajaan Pusat kepada atlet-atlet negara yang berjaya membawa pulang pingat-pingat emas, perak dan gangsa dari Sukan Olimpik.

Bonnie meraih pingat emas pada Sabtu lepas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 menerusi acara powerlifting kategori 72 kilogram (kg) manakala Yee Khie berhasil meraih pingat perak dalam acara yang sama bagi kategori 107 kg.

Abdul Karim memberitahu, Kerajaan Pusat membayar pencen kepada atlet-atlet negara yang berjaya memenangi pingat Sukan Olimpik, iaitu RM5,000 sebulan untuk pemenang pingat emas, RM3,000 untuk pingat perak, dan RM1,500 untuk pingat gangsa.

Sementara itu, beliau juga meminta pihak swasta untuk turut sama menghulurkan insentif kepada Bonnie dan Yee Khie sebagai menghargai pengorbanan mereka kepada negara.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan