KUALA LUMPUR, 1 Sept : Atlet Paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli yang melakar pencapaian menakjubkan semalam memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia selepas ‘ gagal ‘ mempertahankan pingat emasnya.
Mengotakan janjinya untuk memecahkan rekod dunia sebelum tiba di Tokyo, Jepun, kemenangan Muhammad Ziyad pada sambutan Hari Kemerdekaan negara semalam, pada mulanya diraikan penuh meriah oleh rakyat negara ini yang menulis ucapan menyatakan rasa bangga menerusi media sosial.
Bagaimanapun, pesta keraian berkenaan tidak lama apabila juri menerima protes daripada pasukan Ukraine yang mendakwa atlet negara lewat melaporkan diri di bilik pendaftaran.
Ia sekaligus menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval ditabalkan selaku juara dengan catatan 17.34 meter manakala rakan senegaranya, Oleksandr Yarovyi pula meraih perak dengan 17.30 meter.
Untuk rekod , Muhammad Ziyad melakukan catatan yang lebih baik iaitu 17.94 meter pada lontaran ketiganya sekaligus memecah rekod dunia 17.29 meter yang dilakukan olehnya pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London 2017.
Di sebalik pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan pingat emas berkenaan oleh kem Malaysia, penganjur dalam mesyuarat antara chef-de-mission (CDM) hari ini mengekalkan keputusan semalam.
” Saya minta maaf pada semua rakyat Malaysia. Terima kasih kerana memberi sokongan pada saya,” tulis Muhammad Ziyad menerusi catatan insta story Instagramnya awal pagi tadi.
Pada temasya Paralimpik Rio, Brazil lima tahun lalu, atlet berkenaan turut mengharumkan nama negara apabila meraih emas acara itu dengan catatan 16.84 meter sekaligus mencatatkan rekod dunia baharu ketika itu. -TVS
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.