SERIAN: Bagi menampung bilangan pesakit COVID-19 yang semakin ramai di Serian, daerah tersebut kini memiliki Pusat Pemeriksaan COVID-19 (CAC) sendiri yang beroperasi di Kompleks Sukan Serian.
Berbeza dengan pusat saringan, CAC dibuka untuk mereka yang telah disahkan positif di mana penilaian dibuat untuk menentukan sama ada pesakit itu perlu dimasukkan ke hospital atau menjalani kuarantin di rumah.
Pakar perubatan keluarga yang juga merupakan salah seorang doktor bertugas di CAC tersebut, Dr Diana Law Suk Chin, memaklumkana CAC ini telah dibuka di Stadium Tasik Danu sejak 1 Ogos yang lepas.
“Tujuan CAC ini dibuka adalah untuk memeriksa mereka yang telah disahkan positif di mana mereka akan datang ke sini (CAC) untuk mendapat rawatan susulan,” katanya ketika ditemubual wartawan TVS.
“Di sini kami akan memeriksa sama ada paras oksigen mereka berada pada tahap normal dan tekanan darah mereka juga stabil. Di samping itu, di pusat ini juga. kami akan melakukan pemeriksaan fizikal ke atas pesakit tersebut.”
Tambahnya lagi, di CAC ini juga pesakit yang sudah menjalani kuarantin 10 hari akan diperiksa semula sebelum dibenarkan pulang dengan tambahan empat hari pemantauan di rumah.
Selain itu, pusat pemeriksaan ini turut membantu memantau pesakit yang menjalani kuarantin di rumah, selain mengemaskini rekod MYSejahtera mereka.
Selain itu juga, individu yang didapati positif COVID-19 dapat dinilai tahap jangkitan mereka.
Ia dibuka setiap hari bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Pusat Pemeriksaan COVID-19 di Serian ini dikendalikan oleh lima orang doktor, enam orang penolong pegawai perubatan, enam orang jururawat, dua orang pembantu perubatan, dan dua penolong pegawai perubatan persekitaran.
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.