KUALA LUMPUR, 30 Ogos : Bekas Perunding Teknikal Liga Profesional Oman Mohd Saifuddin Abu Bakar, dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu, berkuat kuasa 1 Sept.
FAM optimis pelantikan Mohd Saifuddin, 60, yang mempunyai pengalaman luas di peringkat domestik dan antarabangsa, selain dengan latar belakang dan kelayakan yang dimilikinya, akan memberi kebaikan kepada badan induk bola sepak negara itu.
“Mohd Saifuddin mampu membawa FAM ke tahap lebih, tinggi sambil memenuhi aspirasi pihak berkepentingan,” menurut kenyataan dikeluarkan FAM hari ini.
Mohd Saifuddin mula menceburi bidang tadbir urus bola sepak sebagai Pegawai Pembangunan Teknikal dan Remaja Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada 1991, sebelum menyertai FAM sejak 1993 hingga 2004 dengan menjawat jawatan terakhir sebagai Ketua Jabatan Pertandingan FAM.
Beliau kemudian menyertai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selama tiga tahun selaku pegawai pertandingan, sebelum kembali semula ke FAM pada 2007 dan dilantik sebagai penolong setiausaha agung.
Pada 2009, Mohd Saifuddin meletak jawatannya itu dan berkhidmat sebagai Penolong Ketua Bahagian Pertandingan Qatar Stars League sehingga 2012, dan kemudiannya berhijrah ke Oman dengan skop tugas selaku Pengurus Pertandingan Liga dan Pelesenan Kebangsaan sehingga 2019.
Mohd Saifuddin juga adalah Komisioner Perlawanan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC.
Pelantikan beliau sebagai setiausaha agung FAM yang baharu ialah susulan kekosongan ditinggalkan Stuart Ramalingam, yang dilantik selaku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Isnin lepas.
— BERNAMA