Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Limbang, Kapit dan Miri diisytihar kawasan kawalan Demam Babi Afrika

KUCHING: Bahagian Limbang, Kapit dan Miri diisytihar sebagai kawasan kawalan penyakit Demam Babi Afrika (ASF), menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) Dr Adrian Susin Ambud.

Katanya, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas memutuskan perkara tersebut berikutan penemuan penyakit ASF di Sabah dan Kalimantan Utara.

“Perintah ini dilaksanakan di bawah Seksyen 35 (1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, sekiranya terdapat sebarang keganjilan atau kelainan dalam kadar kematian ternakan di ladang ternakan, para penternak dikehendaki untuk melaporkan terus kepada Pejabat Veterinar Bahagian terdekat atau boleh menghubungi talian Whatsapp 016-2840918.

Tambahnya, sebarang babi atau hasil produk babi yang dipindahkan atau ditawarkan untuk dijual atau dijual dalam pelanggaran Perintah ini, boleh disita atau dimusnahkan oleh Pihak Berkuasa Veterinar Negeri.

“Tiada pampasan akan dibayar untuk sebarang babi atau hasil produk babi yang dirampas atau dimusnahkan di bawah seksyen ini.

“Kegagalan untuk mematuhi arahan tersebut akan dikenakan denda tidak melebihi RM1,000,” ujarnya.

Tegasnya, sesiapa yang didapati membawa masuk ternakan dan hasil ternakan dari negara luar tanpa import permit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 dan/atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, beliau memaklumkan, setakat ini, babi yang diternak di negeri ini masih bebas dari penyakit ASF dan memberi jaminan bahawa daging babi yang dijual di pasaran adalah selamat untuk dimakan kerana sumber daging babi tersebut adalah dari ladang yang bebas dari virus ASF.

Selain itu, katanya, ASF bukanlah penyakit zoonotik kerana tidak menjangkiti manusia.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan