KUCHING, 29 Ogos: Selaras dengan hasrat kerajaan dalam melaksanakan pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membantu melaksanakan penghantaran 99, 400 dos vaksin dan peralatan perubatan dari Kuching, Sibu dan Bintulu ke Tawau, Sabah.
Vaksin yang dihantar merupakan jenis Comirnaty sumbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sarawak kepada MKN Negeri Sabah.
Menurut kenyataan dari Markas Briged Kesembilan Infantri Malaysia, kesemua vaksin dan peralatan perubatan merupakan bekalan dari Pejabat Farmasi Bahagian Sibu.
“Antara barang-barang tersebut ialah enam karton picagari, dua karton vaksin, tiga karton natrium klorida dan dua karton kad vaksin,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Jelasnya, pesawat C-130H TUDM telah terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 12.20 tengah hari dan selamat tiba di Lapangan Terbang Sibu kira-kira jam 1 tengah hari.
“Vaksin dan peralatan perubatan dijangka tiba di Lapangan Terbang Tawau sekitar jam 4.45 petang,” jelas kenyataan tersebut.
Pesawat telah dikendalikan oleh Kapten Mohamad Zulkarnain Johari TUDM selaku juruterbang, Kapten Owi Wei Lunn TUDM selaku pembantu juruterbang dan dibantu oleh Kapten Muhammad Haikal Rasdi TUDM selaku navigator penerbangan.
Penghantaran vaksin ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri Sabah dalam meningkatkan pemberian vaksin dalam kalangan rakyat Sabah bagi mencapai sasaran imunisasi kelompok yang memperlihatkan 80 peratus rakyat Sabah telah divaksin pada Oktober 2021.
Kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam membantu menjayakan program vaksinasi negara dilihat perlu diteruskan agar lebih ramai rakyat berjaya mendapat suntikan vaksin dalam mencapai imuniti kelompok.