Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Hentikan Berpolitik, Fokus Covid-19 Dan Tingkatkan Ekonomi – Fazzrudin

KUCHING, 29 OGOS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman menyifatkan Parti Sarawak Bersatu (PSB) tidak seharusnya bermain politik di saat semua pihak sedang berusaha mengekang penularan COVID-19.

Sebaliknya PSB perlu menjadi parti pembangkang yang boleh membantu memulihkan ekonomi ataupun sumbang idea dalam reformasi kerajaan persekutuan baharu.

“Sentimen ini telah ditekankan di peringkat nasional malah pemimpin Pakatan Harapan (PH) bertemu sendiri dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mencari jalan bersama menangani krisis COVID-19, menyelamatkan nyawa dan memulihkan ekonomi.

“Ini sejajar dengan ketetapan Yang di-Pertuan Agong agar semua parti politik bersatu dalam memerangi wabak ini dan tidak menyulitkan negara dalam perkara yang tidak tentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan PSB yang mendakwa Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak dapat mempertahankan hak negeri kerana gagal mendapatkan jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti yang dilaporkan akbhar tempatan baru-baru ini.

“Sekiranya Perdana Menteri merasakan kerajaan baharu harus mengosongkan jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk fokus kepada kawalan situasi COVID-19 negara supaya dapat keluar daripada kemerosotan semasa, maka ia yang terbaik,” katanya.

Malah tegas Fazzrudin lagi, perlantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Kabinet adalah hak prerogatif Perdana Menteri.

Katanya, GPS tetap berpegang teguh pada slogan ‘Utamakan Sarawak’ di mana hak dan kepentingan negeri mesti diutamakan dan dilindungi sama ada di dalam mahupun di luar kerajaan persekutuan.

“Paling penting adalah pengiktirafan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 yang membolehkan negeri memiliki dominan penuh atas sumber minyak dan gas,” katanya.

Untuk rekod, Sarawak melalui kerjasama dengan kerajaan persekutuan sejak tahun lalu telah menempa beberapa kejayaan dalam pemulihan hak negeri berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63).

Menurutnya, kejayaan itu membolehkan kerajaan negeri melalui Petroleum Sarawak Berhad (Petros) melibatkan diri secara menyeluruh dari segi mengendali perlombongan minyak negeri untuk melindungi kepentingan dan aspirasi rakyat Sarawak.

Selain itu, perjuangan untuk mempertahankan hak-hak negeri masih diteruskan hingga sekarang dengan tuntutannya kepada kerajaan pusat untuk meminda Artikel 160 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Ia bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama dalam persekutuan, sesuai dengan MA63 dan satu pertiga perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen.

“Semua ini dilakukan oleh kerajaan negeri GPS,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan apa yang dilakukan PSB dalam melindungi atau memulihkan hak-hak Sarawak yang terhakis.

Jelasnya, PSB hanya bermain persepsi dan membuat tuduhan tidak berasas untuk mendapatkan pujian dan sokongan dalam kalangan penyokong mereka.

“Jangan hanya jadi seperti, ‘tin kosong’, bunyinya kuat, isinya tiada.

Justeru, Fazruddin menggesa rakyat Sarawak untuk tidak termakan dengan dakwaan PSB yang boleh memecahkan keharmonian dan perpaduan di negeri ini.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan