PADAWAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas dia terlibat dalam satu kemalangan di Batu 8, Jalan Penrissen, di sini sekitar jam 8.25 pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata ketika kejadian, mangsa yang berusia 53 tahun itu bergerak dari arah Padawan menuju ke Kuching.
“Semasa mangsa sedang mencelah di tengah-tengah laluan atas garisan putih putus-putus, motosikalnya tergelincir kerana jalan raya licin akibat hujan renyai. Mangsa terjatuh di bahagian bawah tayar belakang sebelah kanan lori terbabit,” katanya.
Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian dada kirinya dan disahkan mati di tempat kejadian.
Dalam perkembangan lain yang berasingan, satu penemuan menggemparkan telah dibuat di Jalan FAC, Matang, yang turut melibatkan seorang penunggang motosikal.
Mayat seorang lelaki berusia 34 tahun ditemui orang awam lebih kurang 10 meter dari bahu jalan sekitar jam 7.30 pagi tadi.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan. Akibat kecederaan parah yang dialami mangsa pada bahagian dada dan kaki, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang hadir di lokasi,” dedah Lim.
Mengulas lanjut, beliau berkata pemeriksaan awal yang dijalankan ke atas mangsa di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah berdasarkan kecederaan fizikal yang dialami mangsa.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.