KUCHING: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyambut baik pelantikan wakil Sarawak dalam Kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Ketua Pemuda PBB Gerald Rentap Jabu, pengekalan seorang Menteri Kanan, 3 Menteri penuh dan 6 Timbalan Menteri dalam barisan Kabinet yang akan berkuatkuasa Isnin ini, 30 Ogos 2021 membuktikan Sarawak terus diiktiraf.
“Pemuda PBB percaya barisan Kabinet yang diumumkan akan memantapkan lagi pentadbiran Negara yang memfokuskan kepada usaha memastikan kestabilan politik, menangani pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara, demi kesejahteraan rakyat.
“Terima kasih YAB Perdana Menteri, di atas kepercayaan yang diberi. Pemuda PBB yakin kesemua yang dilantik mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dalam mendepani cabaran pandemik, senario politik serta ekonomi yang kian mencabar demi kepentingan nasional,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, fokus utama pada ketika ini adalah untuk menangani masalah rakyat.
Justeru, beliau percaya pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ melalui jalinan kerjasama rentas parti serta kemenangan bersama dalam menangani krisis kesihatan akibat penularan pandemik akan dapat dicapai.