KUALA LUMPUR, 27 Ogos : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan barisan kabinetnya hari ini dengan menyaksikan 31 menteri dan 38 timbalan menteri dilantik untuk menerajui kementerian masing – masing.
Menerusi pengumuman yang disiarkan secara langsung, Ismail Sabri turut menggariskan tiga prinsip iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah serta mengembalikan keyakinan rakyat dengan setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.
Pengumuman hari ini menyaksikan tiada perubahan besar apabila Perdana Menteri mengekalkan empat jawatan Menteri Kanan yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selain tiada jawatan Timbalan Perdana Menteri.
” Barisan Kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya ketika pengumuman berkenaan.
Kementerian Kewangan yang sering menjadi tumpuan berikutan situasi ekonomi semasa menyaksikan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengekalkan jawatan berkenaan bersama Datuk Mohd Shahar Abdullah selaku Timbalan Menteri I manakala Yamani Hafez Musa sebagai Timbalan Menteri II.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengekalkan jawatan sebagai Menteri (Kanan ) Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersama Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Menteri (Kanan) Kerja Raya dan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin Menteri (Kanan) Pendidikan namun menyaksikan kehadiran ‘muka baharu’, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien sebagai Menteri Kanan yang menerajui Kementerian Pertahanan.
Hishammuddin sebelum ini merupakan bekas Menteri Luar Negeri yang kini disandang oleh Datuk Saifuddin Abdullah yang ‘melepaskan’ jawatan sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia kepada Tan Sri Annuar Musa.
Pada masa sama, pengumuman hari ini menyaksikan hampir keseluruhan menteri dalam kabinet terdahulu dikekalkan dengan jawatan masing – masing namun berlaku pertukaran portfolio selain terdapat lima muka baharu dilantik sebagai Menteri iaitu Tan Sri Noh Omar akan menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi manakala Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Muka baharu yang dilantik juga menyaksikan Datuk Seri Mahadzir Khalid kembali ke dalam barisan kabinet apabila dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar manakala Senator Idris Ahmad dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Datuk Seri Shahidan Kassim selaku Menteri Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, antara yang digugurkan ialah Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama) selain Datuk Seri Mohd Redzuan yang sebelum merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tidak mengekalkan jawatan senagai Menteri Perusahaan , Perladangan dan Komoditi.
Turut menarik perhatian ialah pertukaran membabitkan dua kementerian penting ketika krisis pandemik COVID-19 apabila Datuk Seri Dr. Adham Baba yang sebelum ini merupakan Menteri Kesihatan dipindahkan ke Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) manakala Khairy Jamaluddin mengambil alih jawatan Adham sebelum ini.
Pertukaran juga membabitkan Datuk Zuraida Kamaruddin yang sebelum ini sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dengan jawatan lamanya diberikan kepada Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Sementara itu, Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili diberi tanggungjawab sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) dengan dibantu oleh Datuk Hanifah Hajar Taib selaku timbalannya.
Datuk Seri Nancy Shukri pula kembali dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan manakala Datuk Alexander Nanta Linggi juga kekal sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. -TVS
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.