Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Menyamar sebagai bot tempatan, cubaan nelayan Vietnam curi hasil laut negara berjaya dipatahkan

ByFebbright James

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak telah berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang disyaki sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara pada jarak lebih kurang 250 batu nautika timur laut Tanjung Po, Kuching sekitar jam 7.14 pagi pada Isnin lalu.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, dalam operasi yang mengambil masa kira-kira 30 minit itu, bot nelayan tersebut bertindak agresif dengan menghimpit sisi kanan Kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (KM BIJAK) sebelum pihaknya berjaya memintas bost berkenaan dan menahan 16 kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 19 hingga 53 tahun.

“Menyedari keberadaan Kapal Maritim (KM) BIJAK menghampiri mereka , bot nelayan Vietnam tersebut cuba melarikan diri dan bertindak agresif dengan melanggar bahagian sisi kanan kapal KM BIJAK,” kata Zin Azman dalam satu kenyataan hari ini.

Bot nelayan Vietnam

Tegasnya, tangkapan tersebut dibuat menerusi pemantauan dan rondaan rutin Op Khas Kuda Laut atau Op Permai berikutan aduan yang dibuat oleh komuniti nelayan tempatan mengenai aktiviti nelayan warganegara Vietnam tersebut.

Hasil pemeriksaan, bot tersebut tidak memiliki sebarang dokumen serta lesen daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara manakala kesemua kru juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Jelasnya lagi, pihak Maritim Malaysia juga berjaya merampas peralatan menangkap ikan serta bekalan diesel lebih kurang 10,000 liter manakala nila keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM1,000,000.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Jika disabitkan kesalahan, tekong boleh didenda sehingga RM6 juta, manakala anak kapal boleh didenda sehingga RM600 ribu setiap seorang dan vesel boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia,” ujarnya.

Kesemua kru akan menjalani ujian saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga setiba di jeti.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan