PAKAN: Seorang lelaki yang disangkakan seekor burung maut tertembak di hutan kawasan Nanga Dayu sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Julau DSP Andam Sulin, ketika kejadian mangsa Nissa Jamau, 29, keluar berburu di hutan tersebut bersama dua orang rakannya sebelum berhenti sebentar untuk berehat.
Kemudian, suspek, seorang lelaki 45 tahun yang keluar bersendirian telah melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangkakan seekor burung.
“Selepas melepaskan tembakan, suspek terus bergerak ke arah mangsa dan mendapati telah tertembak mangsa.
“Suspek telah meminta maaf kepada dua orang rakan mangsa kemudian balik ke rumah dalam keadaan ketakutan sebelum menyerahkan diri di Balai Polis Julau,” katanya.
Tambahnya, suspek telah ditangkap dan pihak polis turut merampas sepucuk senapang, peluru dan beberapa barang milik suspek turut dirampas untuk dijadikan barang kes.
Mayat mangsa telah ke Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut dan hasil pemeriksaan awal mendapati lebih 15 kesan tembakan dijumpai di belakang badan dan kepala mangsa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya, dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960, yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM 10,000 atau kedua-duanya.