TOKYO: Tuan rumah Jepun sekali lagi menampilkan upacara pembukaan yang menakjubkan sempena Sukan Paralimpik ke-16 – hanya 16 hari selepas berakhirnya temasya Sukan Olimpik 2020.
Walaupun diadakan dalam Stadium Olimpik yang hampir kosong ekoran pandemik COVID-19, negara matahari terbit itu tetap berjaya mengalu-alukan kedatangan alet orang kurang upaya (OKU) dalam satu majlis yang menonjolkan kekuatan kumpulan luar biasa ini.
Bertema ‘We Have Wings’, majlis dimulakan dengan penuh bergaya di atas pentas mirip seperti lapangan terbang, melambangkan venue di mana kesemua atlet boleh bertemu di bawah satu hab diikuti dengan pelbagai persembahan tarian sebelum percikan bunga air menyinari langit di sekitar stadium tersebut.
Seperti Sukan Olimpik, Maharaja Naruhito merasmikan upacara penuh gilang gemilang itu bagi menandakan bermulanya temasya yang disertai 4,403 atlet dari 162 negara.
Acara kemuncak tersebut ialah perarakan atlet dengan 10 orang mewakili kontinjen negara dengan Malaysia merupakan kontinjen ke-139 memasuki stadium yang mampu menempatkan 68,000 penonton.
Pasukan Pelarian Paralimpik merupakan kontinjen pertama masuk ke stadium manakala kontinjen tuan rumah melengkapkan perbarisan dengan menerima sorakan paling kuat dalamm kalangan hadirin.
Atlet negara memperagakan persalinan pahlawan dengan buasana diinspirasikan menerusi persalinan Laksamana Hang Tuah serta mengekalkan Jalur Gemilang sebagai warna utama.
Tatacara pemakaian lengkap bertanjak, baju sikap dan samping serta busana wanita lengkap berdokoh dan selendang tampak sopan dan membiaskan identiti Malaysia yang kaya dengan budaya.
Busana tersebut adalah hasil rekaan Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Dalam perbarisan tersebut, jaguh powerlifting, Bonnie Bunyai Gustin dan atlet olahraga, Siti Noor Lasah Ariffin ditugaskan sebagai pembawa Jalur Gemilang.
Turut dalam perbarisan, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), yang juga Chef de Mission ke Paralimpik Tokyo, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin dan pemenang emas edisi lalu menerusi lontar peluru , Ziyad Zulkifli.
Selain itu, Abu Samah Borhan daripada atlet tenis berkerusi roda; S. Suresh (memanah); Johari Wahab, Dr. Azril Syazwan Ali, Intan Rohaya Muhammad serta G. Mohan (sekretariat kontinjen).
Dalam ucapannya, Pesiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) Andrew Parsons memuji ketahanan atlet para dan tuan rumah Jepun kerana meneruskan temasya ketika berdepan pandemik COVID-19.
Dua atlet negara tuan rumah – bekas pemain tenis berkerusi roda nombor satu dunia Shingo Kunieda dan pemain goalball Rie Urata bersama jurulatih renang Jeopun Yumiko Taniguchi dan pengadil lawan pedang berkerusi roda Noboyuki Azuma mengangkat sumpah temasya sukan itu.
Obor dibawa masuk ke stadium oleh beberapa bekas atlet paralimik termasuk juara ski dua kali Kuniko Obinata dan jaguh perenang Mayumi Narita.
Obor itu kemudian diserahkan kepada pemenang pingat gangsa acara tenis berkerusi roda pada Rio 2016, Yui Kamiji, Shunsuke Uchida (boccia) dan Karin Morisaki (powerlifting), yang mendapatkan penghormatan menyalakan kawah.
Kawah itu akan bernyala sehingga temasya itu berakhir pada 5 Sept ini.
Tokyo menjadi bandaraya pertama menganjurkan Sukan paralimpik sebanyak dua kali selepas 1964.
– BERNAMA