Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Paralimpik Tokyo : “Saya boleh pecah rekod Asia jika tak batal” – Nur Syaiful

TOKYO, 25 Ogos — Perenang para kebangsaan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli, berpotensi memecah rekod Asia baharu sekiranya penyertaannya dalam acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal), tidak dibatalkan pada Sukan Paralimpik Tokyo, hari ini.

Nur Syaiful yang membuat penampilan sulung dalam temasya berprestij itu, menamatkan perlumbaan di tangga kelima daripada enam pelumba dalam saringan pertama dengan catatan masa 2 minit 56.78 saat (s) sebelum mendapat khabar buruk oleh pengadil, berhubung pembatalan aksinya.

Rekod Asia 2:58.11s dipegang perenang Thailand Phuchit Aingchaiyaphum, yang dicatatkannya dalam satu kejohanan di Melbourne, Australia tahun lepas.

Atlet  Sarawak yang memiliki catatan peribadi 2:59.01 saat dilakukan di London, United Kingdom pada 2019 itu berkata, nasib sememangnya tidak menyebelahinya selepas mendedahkan terpaksa menampal plaster di bahagian bahu kirinya, ekoran kecederaan dialaminya sejak Sabtu lepas.

Mengulas lanjut, perenang berusia 26 tahun itu mengakui kekurangan pengalaman menyebabkannya tidak menyedari, perlu membuat pengesahan sebelum pertandingan bagi memastikan beliau dibenarkan bertanding, sekiranya terdapat isu teknikal seperti berlaku kepadanya.

“Sebelum ini saya diberitahu pihak doktor bahawa situasi saya adalah 50-50 dan saya mempunyai pilihan untuk membuka plaster atau sebaliknya.

“Bagi hari ini pula, pegawai yang menyemak peralatan seperti ‘goggle’, jaket dan seluar, sebelum saya turun ke kolam juga membenarkan saya untuk beraksi, namun dikejutkan dengan keputusan pengadil yang membatalkan penyertaan, selepas mereka memberitahu penggunaan plaster adalah dilarang sama sekali,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, beliau yang tidak berjaya dalam percubaannya untuk membantah keputusan berkenaan selepas aksinya, akan membuat pengesahan statusnya termasuk menunjukkan surat dari doktor perubatan pada pagi esok, sebelum dijadual bertanding bagi acara 100m gaya bebas lelaki S5.

Walaupun dilanda kesakitan, Nur Syaiful yang  mengalami kecacatan kedua-dua kakinya selepas terlibat dalam kemalangan pada usia 17 tahun memaklumkan, semangatnya tetap membara menuju ke garisan penamat dan bertekad akan bangkit daripada kekecewaan, pada aksi seterusnya esok.

“Saya tahan sakit kerana saya bergantung kepada pergerakan bahu untuk berenang di kolam. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik esok,” tambahnya yang telah menerima rawatan perubatan sejak Isnin lalu.

Saringan pertama itu menyaksikan perenang Sepanyol Antoni Ponce Bertran mengungguli saingan  di tempat pertama, dengan catatan 2:33.73s.

Lapan perenang terbaik daripada dua saringan yang dipertandingkan akan layak ke peringkat akhir, dijadual berlangsung kira-kira 7.52 petang ini (6.52 petang waktu Malaysia).

— BERNAMA

Ikuti TVS di TelegramFacebook, TwitterInstagramTikTok dan YouTube.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan