KUALA LUMPUR, 24 Ogos — Syarikat jenama barangan kemas terkenal Malaysia, HABIB dengan tema Keindahan Merdeka mengangkat kisah hidup si rama-rama sebagai sebagai metafora dan inspirasi untuk kempen kemerdekaannya serta melancarkan Koleksi Wafer Emas 999 Edisi Terhad dengan rekaan unik lima spesies rama-rama di negara ini.
HABIB dalam kenyataan hari ini memaklumkan koleksi itu telah diilhamkan daripada spesies rama-rama indah yang boleh dijumpai di Semenanjung Malaysia serta Kepulauan Borneo iaitu Rajah Brooke’s Birdwing, Long-Tailed Blue, Malay Lacewing, Paper Kite Butterfly dan Emerald Swallowtail.
“Seiring dengan kempen Merdeka ini, HABIB turut memperkenalkan koleksi-koleksi baharu yang diinspirasikan daripada rama-rama dan boleh didapati dalam tiga warna iaitu emas kuning, emas putih dan emas ros serta disediakan dalam jenis-jenis emas 22K, 18K dan 9K,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyebut selari dengan situasi pandemik yang sedang melanda ketika ini, kitaran hidup si rama-rama menjadi simbolik kepada perjuangan rakyat Malaysia kerana proses kehidupan seekor rama-rama melalui pelbagai liku dan cabaran sepanjang lima fasa kedewasaan di dalam kepompongnya, sebelum ia terbentuk menjadi sebuah kejadian alam yang begitu indah.
“Mengharungi situasi pandemik COVID-19 selama hampir dua tahun seharusnya membuatkan kita lebih menghargai erti ‘kemerdekaan’ kerana kita semua terpaksa berkurung di rumah untuk tempoh yang lama bagi mengawal penularan virus ini dan dengan peningkatan Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan yang giat berlangsung, sektor ekonomi kini mula dibenarkan beroperasi secara berperingkat dan secara langsung, ini sedikit sebanyak membantu kita untuk kembali meneruskan kehidupan.
“Justeru, masyarakat khususnya lebih menghargai makna baharu kemerdekaan ini. Sementara kita masih menyesuaikan diri dengan fasa baharu ini, HABIB menjadikan rama-rama sebagai metafora yang paling sesuai untuk menggambarkan perjalanan kehidupan Malaysia dalam pandemik,” menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB Datuk Seri Meer Habib dalam kenyataan itu.
Selaras dengan kempen Keindahan Merdeka pada tahun ini, HABIB membawa kelainan dan idea baharu melalui jalinan kerjasama dengan pelukis tempatan Najib Bamadhaj berbakat besar menerusi lukisan bertajuk ‘National Aspiration’ yang memiliki kreativiti dan keunikan yang tersendiri dalam menyampaikan makna sebuah kemerdekaan melalui karya-karya lukisan yang dihasilkannya.
“Setiap karya yang yang dilakarkan Najib menerapkan elemen metafora dan penceritaan yang unik, bersesuaian dengan tema kempen Merdeka HABIB yang bertujuan menyampaikan mesej harapan Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik,” katanya.
Susulan pelancaran kempen itu, karya Najib akan dipamerkan di bilik pameran HABIB yang terpilih.
“Walaupun kita tidak mempunyai kesempatan untuk meraikan Hari Merdeka dalam serba kemeriahan, kami yakin bahawa kerjasama dengan Najib dalam menghasilkan karya seni bertemakan Keindahan Merdeka ini berupaya menyampaikan mesej yang bermakna iaitu keutuhan rakyat Malaysia yang sentiasa bersatu untuk terus bangkit dan berjuang melawan pandemik ini,” katanya.
— BERNAMA
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.