ANKARA, 25 Ogos — Bank Dunia pada Selasa menangguhkan pembayaran bantuan kepada Afghanistan selepas Taliban menguasai negara yang dilanda peperangan itu.
Menurut Agensi Anadolu, jurucakap bank itu berkata pihak bank “memantau rapat” keadaan di Afghanistan.
“Kami bimbang dengan situasi di Afghanistan dan kesannya terhadap prospek pembangunan negara itu, terutama kaum wanita,” kata jurucakap itu.
Sejak 2002, Bank Dunia, menerusi Persatuan Pembangunan Antarabangsa, telah memberikan komitmen sekitar US$5.3 bilion untuk projek-projek pembinaan semula dan pembangunan di Afghanistan.
Awal tahun ini, bank berkenaan menyalurkan kira-kira US$800 juta kepada negara itu.
Langkah itu susulan keputusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) minggu lalu yang memutuskan untuk menangguhkan akses kewangan Afghanistan, termasuk rizab monetari baharu bernilai hampir US$440 juta.
“Buat masa ini, masyarakat antarabangsa masih kurang jelas mengenai pengiktirafan kerajaan di Afghanistan, kesannya negara itu tidak dapat mengakses SDR atau sumber IMF lain,” kata seorang jurucakap IMF dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu merujuk kepada Hak Pengeluaran Khas, atau aset rizab pertukaran asing tambahan yang ditentukan dan diuruskan IMF.
— BERNAMA
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.