KUCHING: Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh digesa untuk berhenti bermain politik dan usah lagi menyalahkan pihak lain atas kegagalan Pakatan Harapan (PH) sendiri, tegas Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fazzrudin Abdul Rahman.
“Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah membuat keputusan untuk mengesahkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri – keputusan ini telah diterima oleh semua orang termasuk PH sendiri melalui kenyataan pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Untuk kekal bermain politik pada masa ini seakan-akan tidak menghormati keputusan Seri Paduka Baginda yang meminta agar rakyat tidak dibebani dengan pergolakan politik yang tidak berkesudahan pada saat negara sedang bergelut dengan krisis kesihatan semasa dan masalah ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.
Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang dikeluarkan Wong di dalam sebuah akhbar tempatan yang mendakwa Gabungan Parti Sarawak (GPS) gagal merebut peluang keemasan untuk mengembalikan sepenuhnya hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan tidak menyokong calon Perdana Menteri PH.
Fazzrudin memberitahu, Wong juga perlu sedar bahawa pendirian yang diambil oleh GPS adalah praktikal – ia akan terus bekerjasama dengan pihak yang dapat menjaga kepentingan rakyat Sarawak.
Ini dapat dilihat semasa pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan tidak semasa PH.
“Ini adalah dari segi pembayaran Cukai Jualan Negeri (SST) yang oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kepada Sarawak, di mana pendapatan tambahan digunakan untuk membiayai projek pembangunan untuk memberi keuntungan kepada orang ramai.
“Pada masa yang sama, Sarawak melalui perbincangannya dengan kerajaan persekutuan PN dapat penyertaan yang lebih besar dalam industri minyak dan gas negeri ini,” katanya.
Di samping itu, kata Fazzrudin, pentadbiran PN sebelum ini juga telah bersikap sopan kepada Sarawak dan memahami keperluannya.
“Ini berbeza dengan bagaimana Sarawak diperlakukan di bawah PH di mana projek-projek infrastruktur dibatalkan, pelajar-pelajar sekolah juga terkesan kerana keengganan kerajaan tersebut membiayai pembaikan sekolah daif dan hak-hak Sarawak diceroboh oleh penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP).
“Ini diikuti oleh tidak membayar SST dan menuduh bahawa Sarawak akan muflis dalam tiga tahun – tindakan yang boleh membawa kesan yang teruk dan mempengaruhi keyakinan pelabur,” ujarnya.
Tegas Fazzrudin lagi, PSB sepatutnya berhenti dari memberi hujah yang tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.
Sebaliknya, PSB perlu menyokong Kerajaan Persekutuan yang baharu dan memastikan bahawa negara kekal stabil dari sudut politik supaya fokus dapat diberikan kepada usaha mengekang wabak COVID-19 serta dan pemulihan ekonomi.