Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

TMJ terima menghadap Pengarah Pendidikan, guru tolak vaksin Jumaat ini

JOHOR BAHRU, 23 Ogos — Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan menerima menghadap Pengarah Pendidikan Negeri dan guru-guru yang dilaporkan menolak untuk menerima vaksin COVID-19, Jumaat ini.

Tunku Ismail menerusi hantaran dalam laman Twitter bertitah pertemuan itu akan diadakan di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini.

“Saya akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Johor dan para guru di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan bersama-sama dengan Mufti Johor dan Setiausaha Kerajaan Johor pada Jumaat ini.

“Demi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Insya-Allah,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah para guru perlu menjadi contoh serta melindungi murid dan bukan membahayakan mereka dengan menolak untuk menerima vaksin COVID-19.

Semalam, Tunku Ismail menitahkan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan seramai 779 guru di negeri ini yang dilaporkan menolak untuk menerima vaksin COVID-19 menghadap baginda dalam masa terdekat.

Titah itu susulan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri Mazlan Bujang memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam terdapat golongan guru yang menolak pemberian vaksin.

Sehingga 19 Ogos, seramai 45,448 atau 96.26 peratus guru di Johor telah menerima dos pertama dan seramai 23,746 guru sudah lengkap menerima kedua-dua dos suntikan vaksin.

— BERNAMA

Ikuti TVS di TelegramFacebook, TwitterInstagramTikTok dan YouTube.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan