Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Pengurus pusat hiburan dan tujuh pelanggan dikompaun ingkar SOP

KUALA LUMPUR, 23 Ogos — Seorang pengurus pusat hiburan dan tujuh pelanggannya dikenakan kompaun berjumlah RM60,000 dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan di Sungai Way, Petaling Jaya petang semalam kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata dalam operasi pukul 3 petang itu, pengurus pusat hiburan tersebut dikompaun RM25,000 manakala pelanggan berumur 20 hingga 50 tahun itu dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang.

“Semasa serbuan dijalankan, terdapat tujuh pelanggan terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita warga tempatan sedang berhibur di dalam premis tersebut dan terdapat tiga lelaki warga asing yang bekerja di premis tersebut.

“Pengurus pusat hiburan itu dikompaun kerana premis itu beroperasi dalam tempoh Fasa 1 PPN manakala tujuh pelanggan dikompaun kerana mengunjungi pusat hiburan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata ujian air kencing terhadap kesemua individu berkenaan juga mendapati dua pelanggan yang berumur 22 dan 25 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

Katanya, pengurus pusat hiburan yang merupakan warga tempatan dan berumur 40 tahun itu juga gagal mengemukakan lesen perniagaan minuman keras 2021 ketika diperiksa, dan turut ditahan bersama tiga pekerja warga asing bagi membantu siasatan.

“Pengurus itu akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963 manakala warga asing itu ditahan mengikut Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1956/1963,” katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu bagi membantu siasatan manakala suspek yang didapati positif dadah akan didakwa di mahkamah esok di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

— BERNAMA 

Ikuti TVS di TelegramFacebook, TwitterInstagramTikTok dan YouTube.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan