PUTRAJAYA, 23 Ogos — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Op Samar yang melibatkan pemeriksaan lebih 2,000 anggota penguatkuasanya termasuk secara penyamaran sebagai pelanggan di premis perniagaan untuk mengesan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDNHEP Shamsul Nizam Khalil dalam kenyataan hari ini berkata kompaun RM10,000 boleh dikenakan serta-merta kepada peniaga yang melanggar SOP PPN di bawah Op Samar.
Beliau berkata pemeriksaan pematuhan SOP PPN telah dijalankan pada 21 dan 22 Ogos lepas di negeri Fasa Dua PPN iaitu Pulau Pinang dan didapati pematuhan SOP PPN berada pada tahap memuaskan.
Menurutnya, KPDNHEP telah mengenakan kompaun sejumlah RM10,000 terhadap pemilik premis di sekitar Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang secara serta-merta atas kesalahan premis gagal mempamerkan jumlah had maksimum pelanggan.
“Tindakan ini sebagai mesej kepada peniaga tentang keseriusan dan komitmen KPDNHEP dalam melaksanakan Op Samar untuk memantau pematuhan SOP PPN di seluruh negara,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan kelonggaran bagi 22 subsektor perdagangan dan pengedaran yang dibenarkan beroperasi di bawah fasa PPN dengan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan, antaranya pemilik premis perniagaan perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 sebagai bukti telah lengkap vaksinasi.
“Harus diingatkan, pembukaan subsektor ini bukan suatu kebebasan tanpa kawalan untuk peniaga mengabaikan SOP yang telah ditetapkan kerajaan dan KPDNHEP meminta semua pihak bekerjasama untuk merancakkan dan memulihkan semula ekonomi domestik,” kata Shamsul Nizam.
Mengenai pematuhan SOP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang digerakkan pada 13 Mei 2020 hingga semalam (22 Ogos), beliau berkata sejumlah 737,821 premis telah diperiksa dengan 840 kes dikenakan jumlah kompaun RM4.4 juta.
“Berdasarkan statistik tersebut, pematuhan dalam sektor perdagangan pengedaran berada pada tahap yang amat memuaskan dengan 98.74 peratus premis patuh kepada SOP ditetapkan, manakala 0.08 peratus premis sahaja yang dikenakan kompaun dan selebihnya iaitu 1.06 peratus premis diberi nasihat dan amaran,” katanya.
— BERNAMA
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.