KUCHING: Masanya sudah tiba untuk pucuk pimpinan Kerajaan Pusat menimbangkan agar jawatan Timbalan Perdana Menteri dipegang oleh wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak.
Hal ini kerana menurut Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, banyak sumbangan yang telah dibuat oleh Negeri Sabah dan Sarawak.
“Negeri Sabah dan Sarawak kaya dengan sumbernya. Selain itu, rakyat Sabah dan Sarawak juga bersatu untuk membangunkan negara. Ia patut dihargai dan mungkin melalui pemberian jawatan yang agak tinggi.
Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia terbentuk dengan adanya Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas rakaman program Borak Teh C Peng terbitan TVS, pada Isnin.
Tambah Abdul Karim, pucuk pimpinan itu sekurang-kurangnya perlu melibatkan wakil daripada Sabah dan Sarawak.
Walaubagaimanapun, beliau sedar kuasa untuk memilih tersebut adalah terletak pada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Menyentuh berkenaan calon, itu adalah hak Perdana Menteri untuk memilih siapa yang beliau inginkan untuk membarisi Kabinet Kerajaan.
Ia terpulang kepada budi bicara beliau sebagai seorang Perdana Menteri,” ujarnya.
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.