Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Tabung Endowmen Sarawak catat penurunan pendaftaran ekoran pandemik

ByOdleen Catherny

KUCHING, 23 Ogos: Situasi pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan penurunan dalam pendaftaran Tabung Endowmen Sarawak (EFS), kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurut beliau, setakat Julai 2021, sebanyak 9,352 pendaftaran EFS dicatatkan membabitkan 72 peratus daripada jumlah keseluruhan pendaftaran anak kelahiran Sarawak (Status K) di negeri ini iaitu 13,031.

“Kita melihat penurunan dalam peratusan pendaftaran EFS disebabkan oleh arahan untuk menghentikan sementara operasi semua cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Sarawak pada bulan Jun 2021 kerana PKP.

“Oleh yang demikian, kami menyeru semua ibu bapa untuk segera melakukan permohonan EFS di mana-mana cawangan JPN negeri Sarawak dalam tempoh satu tahun dari tarikh kelahiran anak semasa pendaftaran kelahiran dibuat,” katanya.

Jelasnya, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM26 juta di bawah program EFS pada tahun 2021.

“Pada tahun 2019, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta di bawah program EFS, manakala RM30 juta diperuntukkan pada tahun 2020 dan RM26 juta untuk tahun 2021,” ujarnya.

Pemberian EFS sebanyak RM1,000 kepada setiap kelahiran anak Sarawak dalam bentuk simpanan bermula pada tahun 2019.

EFS hanya boleh dikeluarkan apabila anak tersebut mencapai usia 18 tahun sebagai persediaan untuk melanjutkan pelajaran, memulakan kerjaya dan sebagainya.

Sementara itu, Fatimah turut menggesa para ibu untuk memohon Bantuan Ibu Bersalin (BIB) di mana-mana 52 buah cawangan JPN Negeri Sarawak.

Selain memohon di JPN, BIB juga boleh dipohon di Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian/Daerah atau Pejabat Daerah di seluruh Sarawak.

Dalam perkembangan sama, beliau turut berkata bahawa BIB diteruskan pada tahun 2021 dengan peruntukan sebanyak RM16 juta.

BIB berjumlah RM450 diberikan bagi setiap ibu yang melahirkan anak bermula 1 Januari 2020.

“Tujuan bantuan ini adalah bagi membantu para ibu mendapatkan keperluan selepas melahirkan anak seperti pemakanan, penjagaan diri semasa berpantang dan sebagainya.

“Bantuan ini terus dibayar ke akaun ibu yang layak, setelah kelahiran anak,” katanya.

Jumlah peruntukan yang diluluskan pada tahun 2020 bagi BIB ialah sebanyak RM18 juta.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat KWKPK bersama Jabatan Pendaftaran Negeri Sarawak dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) Sarawak, pada Isnin.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan