SIBU, 23 OGOS: Seorang pemandu lori berdepan detik cemas apabila kenderaan dipandunya terbakar di jalan Lanang di Sibu.
Mangsa sempat keluar dari kabin lori tersebut selepas menghentikan kenderaan berat tersebut di bahu jalan setelah terhidu bau asap kebakaran dari bahagian enjin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral Suna Naha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.16 malam sebelum mengerahkan sebuah jentera ke lokasi.
“Semasa kebakaran pihak bomba tiba di tempat kejadian mangsa telah pun keluar daripada lori jadi menurut saksi dimana mangsa pemandu lori tersebut menyatakan api berpunca daripada bahagian bawah bahagian enjin dan terus merebak ke bahagian kabin lori tersebut.
“Semasa sampai di tempat kejadian anggaran kebakaran lebih kurang 60 peratus dan pihak bomba terus bertindak menjalankan operasi pemadaman sehingga api dapat dikawal dan dipadam sepenuhnya dalam tempoh 15 minit,”katanya ketika dihubungi TVS.
Tambahnya lagi, punca kebakaran masih lagi dalam siasatan.