KUCHING, 23 Ogos: Beberapa kes positif Covid-19 di bawah kategori 1 dan 2 yang tidak bergejala atau bergejala ringan, dicadang untuk jalani kuarantin kendiri di rumah dengan pemantauan ketat dan rawatan berterusan, kata Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Cadangan ini dicapai berikutan penilaian dari pakar perubatan namun akan dikenakan terma dan syarat yang ketat dari pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
“Sekiranya dibenarkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah setelah disahkan positif Covid-19, individu ini sama sekali tidak dibenarkan untuk keluar rumah meski tidak mengalami sebarang gejala. Kuarantin adalah bertujuan untuk mengelak anda (pesakit Covid-19) dari menjangkiti orang lain.
“Asingkan diri dalam bilik dan elakkan bercampur dengan ahli keluarga yang lain tidak kira sama ada mereka sudah dijangkiti ataupun tidak. Makan seorang diri, pakai pelitup muka sepanjang masa meskipun anda menjalani kuarantin di rumah,” katanya melalui ciapan dalam Facebook rasmi miliknya, pada Ahad.
Tambah beliau lagi individu yang dibenarkan menjalani kuarantin di rumah perlu memastikan tahap pengudaraan di rumah dalam keadaan yang baik.
Katanya lagi, mereka (individu positif Covid-19) perlu memastikan diri sentiasa terhidrat dengan mengambil sekurang-kurang 3 liter air sehari.
“Paras suhu badan juga perlu disemak sekurang-kurangnya 4 hingga 6 kali sehari. Sekiranya mencecah 38.5 darjah Celsius, pengambilan Panadol adalah digalakkan.
“Periksa juga ketepuan oksigen masing-masing sekurang-kurangnya 4 hingga 6 kali sehari. Sekiranya kurang dari 95 peratus, anda perlu serta merta menghubungi pihak hospital. Antara lain, tidur atau berbaring dalam keadaan meniarap juga dapat membantu menaikkan tahap ketepuan oksigen,” katanya.
Beliau yakin 99.9 peratus kes-kes positif Covid-19 di bawah kategori 1 dan 2 akan sembuh dalam jangka masa pendek kerana impak vaksinasi yang tinggi dalam negeri ini, meskipun Sarawak tidak terkecuali dibelenggu kes-kes positif Covid-19 membabitkan varian Delta.